Gelombang Kedua Banjir Di Johor Dijangka Bermula Rabu Hingga Sabtu Ini

12 Jan 2025 • 6:17 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Gelombang Kedua Banjir Di Johor Dijangka Bermula Rabu Hingga Sabtu Ini

JOHOR BAHRU — Negeri di selatan tanah air iaitu Johor dijangka dilanda gelombang kedua bencana banjir antara Rabu hingga Sabtu depan, lapor Astro AWANI.

Perkara itu diberitahu oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Beliau berkata demikian sewaktu taklimat banjir ketika meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Tinggi pada Ahad.

Jumlah Mangsa Banjir di Johor Terus Meningkat

Sebelum ini, media melaporkan jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor terus meningkat petang ini berbanding pagi tadi.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,779 orang setakat 4 petang, berbanding 3,449 orang pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 1,080 keluarga itu berlindung di 36 PPS yang diaktifkan di lima daerah terjejas.

“Kota Tinggi menjadi daerah paling teruk terkesan dengan 1,174 mangsa dipindahkan ke PPS, diikuti Johor Bahru (768), Kulai (735), Pontian (556) dan Kluang (546).

“Selain itu, hanya Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dilaporkan melepasi paras bahaya dengan bacaan 15.70 meter (m),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan susulan dinaiki air banjir, sementara Jalan Tanjung Sedili di daerah sama hanya dibuka satu lorong.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini turut mengeluarkan amaran hujan berterusan yang diramal berlaku di tujuh negeri.

Menurut METMalaysia, negeri yang terlibat termasuklah Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Sarawak serta keseluruhan negeri Kelantan, Terengganu dan Melaka.

Hujan sangat lebat berterusan (tahap bahaya) dijangka berlaku di Pahang membabitkan daerah Rompin, serta negeri Johor membabitkan kawasan Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” maklum kenyataan tersebut.

Sumber: Astro AWANI