
Gempa 7.2 Magnitud Gegar Alaska, Amaran Tsunami Dikeluarkan
Gempa bumi 7.2 magnitud dilaporkan telah melanda semenanjung Alaska pada lewat Sabtu waktu tempatan.
Memetik laporan AFP, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada jam 10.48 malam, kira-kira 89 kilometer barat daya dari bandar kecil Sand Point.
Agensi itu juga telah mengeluarkan amaran tsunami susulan daripada gegaran tersebut.
Bagaimanapun, Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan di Palmer, Alaska telah menukarkan status amaran tsunami awal kepada nasihat bagi selatan dan semenanjung Alaska.
“Tiada ancaman tsunami kepada pantai Pasifik AS, Kanada dan Amerika Utara,” katanya.
Untuk pengetahuan, Alaska adalah sebahagian daripada Lingkaran Api Pasifik yang aktif secara seismik.
Imbas kembali, negeri terpencil itu dilanda gempa bumi berukuran 9.2 magnitud pada Mac 1964 iaitu yang paling kuat pernah direkodkan di Amerika Utara.
Ia juga menyaksikan Teluk Alaska, pantai barat AS dan Hawaii telah dilanda tsunami.
Lebih 250 orang dilaporkan telah terkorban akibat gempa bumi dan tsunami tersebut.
Sumber: AFP
The post Gempa 7.2 Magnitud Gegar Alaska, Amaran Tsunami Dikeluarkan appeared first on Siakap Keli.

