
Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda Panama pada Jumaat (waktu tempatan), menyebabkan bangunan dan jalan raya runtuh serta sekurang-kurangnya dua individu cedera.
Memetik AFP, tiada sebarang kematian dilaporkan setakat ini susulan bencana itu.
Menurut Sistem Perlindungan Awam Kebangsaan, gegaran gempa bumi cetek itu dirasai di seluruh negara Amerika Tengah berkenaan yang mempunyai kira-kira 4.5 juta penduduk.
Ketua Operasi Kecemasan, Rene Garcia memberitahu AFP bahawa setakat ini, pihak berkuasa belum menerima sebarang laporan mengenai kematian.
Garcia berkata, dua individu dilaporkan cedera selepas terperangkap dalam dua struktur bangunan yang runtuh di lokasi berasingan.
Seorang mangsa terperangkap berhampiran sebuah gereja di Veraguas, manakala seorang lagi berada di sebuah hotel yang runtuh di Cocle.
Di Panama City, kira-kira 200 kilometer dari pusat gempa, suasana panik tercetus apabila orang ramai bergegas keluar menyelamatkan diri dari bangunan pencakar langit yang menjadi mercu tanda bandar tersebut.

"Saya takut kerana gegaran itu sangat kuat dan berpanjangan.
"Barangan berat seperti almari berlaci, katil dan semua peralatan dapur turut bergoyang," kata Salomon Andion, 46, kepada AFP selepas mengosongkan bangunan 15 tingkat yang didiaminya buat kali kedua susulan gegaran susulan.
Sementara itu, sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan air melimpah keluar dari kolam renang di atas bumbung sebuah bangunan yang mempunyai lebih 20 tingkat.
Satu lagi rakaman menunjukkan sebuah jambatan yang merentasi Terusan Panama bergoyang dengan kuat, namun masih kekal berdiri ketika kenderaan melaluinya.
Presiden Panama, Jose Raul Mulino menyifatkan kejadian itu sebagai bencana besar sambil memaklumkan beberapa jalan raya telah runtuh sepenuhnya.
Gempa Bumi 7.7 Magnitud Gegar Panama
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berlaku pada jam 12.56 tengah hari waktu tempatan, dengan pusat gempa terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar kecil Pitaloza Arriba di wilayah Herrera, tengah Panama.
USGS pada awalnya menganggarkan gempa bumi itu bermagnitud 8.0 sebelum menyemak semula bacaannya kepada 7.7.
Amaran tsunami turut dikeluarkan bagi kawasan timur Lautan Pasifik, namun kemudiannya ditarik balik.


