
BANDAR PANAMA – Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 menggegarkan Panama pagi semalam, lapor laman berita DW.
Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan, pusat gempa berada kira-kira 10 kilometer ke barat daya pekan Pitaloza Arriba berhampiran hujung Panama, pada kedalaman 10 kilometer.
Gempa bumi cetek (kedalaman 0 hingga 70 kilometer) dianggap lebih berbahaya dan membawa kemusnahan besar.
Gegaran kuat dirasakan di Bandar Panama, menyebabkan bangunan bergegar dan orang ramai bertempiaran lari ke jalanan untuk menyelamatkan diri.
“Kami merasainya dengan sangat kuat. Gegaran menjatuhkan barang-barang di dapur tetapi kami selamat, walaupun kami sangat takut.
“Semua orang berada di luar dan dalam ketakutan,” kata Rosendo Domínguez, 60, yang berasal dari wilayah Herrera kepada agensi berita The Associated Press melalui telefon.
Presiden Panama, Jose Raul Mulino menyifatkan gempa bumi itu sebagai ‘bencana besar’ yang memusnahkan jalan-jalan berhampiran pusat gempa.
Mulino tidak menyatakan sama ada terdapat sebarang kecederaan atau kematian.
Jurucakap Perkhidmatan Perlindungan Awam Kebangsaan, Omar Smith berkata, kerosakan tertumpu di wilayah tengah iaitu Veraguas, Herrera dan Los Santos.
Smith berkata, beberapa orang cedera, manakala gereja di dataran utama daerah itu retak di samping kerosakan pada bangunan pejabat gabenor dan hotel Dos Continentes. – AGENSI
The post Gempa bumi kuat gegar Panama appeared first on Kosmo Online.






