Gempa bumi Colombia: Semua rakyat Malaysia berdaftar disahkan selamat – Wisma Putra

11 Aug 2026 • 10:42 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Gempa bumi Colombia: Semua rakyat Malaysia berdaftar disahkan selamat – Wisma Putra

Wisma Putra mengesahkan semua rakyat Malaysia yang berdaftar di Colombia selamat susulan gempa bumi kuat berukuran 7.4 skala Richter.

PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan semua rakyat Malaysia yang berdaftar di Columbia berada dalam keadaan selamat dan telah dikenal pasti keberadaan mereka susulan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda barat negara itu pada Isnin.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, Kementerian Luar atau Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru yang ditauliahkan secara serentak ke Columbia, terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan dan memantau perkembangan keadaan.

Menurut kenyataan itu, gempa bumi berkenaan berlaku pada kira-kira 7.34 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa terletak berhampiran bandar San Jose del Palmar di Jabatan Choco.

Gegaran dirasai di sebahagian besar Columbia, khususnya di kawasan tengah termasuk Cali, Pereira, Manizales dan Armenia, serta ibu negara Bogota, mengakibatkan kerosakan besar pada bangunan dan infrastruktur.

“Kementerian merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada kerajaan dan rakyat Republik Columbia, khususnya mereka yang terjejas akibat bencana alam yang dahsyat ini,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata pihak berkuasa Columbia masih menjalankan penilaian keadaan, manakala jumlah korban dan tahap sebenar kerosakan masih belum dapat dipastikan.

Kementerian turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Columbia, khususnya di kawasan terjejas, supaya sentiasa berwaspada, berhati-hati serta mematuhi arahan dan nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa Columbia serta perkhidmatan kecemasan tempatan.

Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan kehadiran mereka di negara itu juga digesa segera berbuat demikian menerusi sistem e-Konsular.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular segera atau mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia yang mungkin terjejas boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Lima melalui telefon atau WhatsApp di talian (511) 422 0297, (511) 441 1939 atau (511) 441 0795, atau melalui e-mel di mwlima@kln.gov.my dan malawakillima@gmail.com.

Wisma Putra berkata kementerian akan terus memantau situasi itu secara rapi dan akan menyalurkan maklumat lanjut sekiranya perlu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved