
KETIKA ini, netizen di Indonesia hangat membincangkan mengenai ramalan bahawa negara republik itu bakal dilanda gempa bumi kuat sebelum akhir tahun 2026.
Ramalan berkenaan telah dibuat oleh seorang ‘pakar’ meteorologi amatur dari Kanada, Frankie MacDonald.
Melalui akaun media sosialnya pada 3 September lalu, MacDonald meramalkan mengenai potensi gempa bumi berkekuatan 7.0 hingga 9.0 magnitud melanda Indonesia, khususnya Jakarta dan Pulau Jawa.
Dalam video berkenaan, pemuda autistik itu mengingatkan masyarakat di Indonesia dan negara-negara di sekitarnya supaya bersiap sedia menghadapi bencana besar.
Dia turut menyarankan supaya penduduk Indonesia menyimpan barang-barang keperluan untuk darurat seperti bekalan makanan, air bersih dan kelengkapan perubatan.
Ramalan yang dibuat oleh MacDonald itu dilihat oleh warganet bakal menjadi kenyataan dalam masa terdekat selepas enam gunung berapi di Indonesia meletus secara serentak baru-baru ini.
Gunung berapi yang meletus secara serentak itu ialah Gunung Ibu, Gunung Semeru, Gunung Lewotobi Laki-laki dan Gunung Ile Lewotolok, Gunung Anak Krakatau serta Gunung Sinabung.
Menurut pakar tempatan, kejadian beberapa gunung berapi meletus dalam tempoh sama bukanlah sesuatu yang luar biasa memandangkan Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik dan mempunyai 127 gunung berapi aktif.
Hakikatnya, letusan gunung berapi dan gempa bumi saling berkait rapat kerana kedua-duanya berlaku akibat pergerakan kepingan plat tektonik di bawah permukaan bumi.
Jadi siapa sebenarnya MacDonald hingga mampu membuat ramalan mengenai fenomena alam dan dipercayai oleh masyarakat dunia?
Untuk makluman, MacDonald berasal dari kawasan Whitney Pier, Nova Scotia. Dia terkenal secara meluas kerana gaya penyampaiannya yang penuh semangat mengenai cuaca dan bencana alam.
Laporan cuaca tersebut biasanya dirakam dalam bentuk video, sebelum dimuat naik ke akaun YouTube miliknya, dogsandwolves. Popularitinya di internet terus berkembang ketika ini. Pelbagai video laporan cuaca yang dibuatnya telah ditonton oleh puluhan juta kali.
Dia juga pernah membuat laporan mengenai keadaan cuaca di beberapa wilayah, termasuk tempat asalnya di Nova Scotia. Sebelum namanya dikaitkan dengan ramalan gempa di Indonesia,
MacDonald memang sudah beberapa kali membuat ramalan bencana di seluruh dunia, dan ia tepat.
Ramalan gempa bumi yang dibuat oleh MacDonald di Indonesia juga tepat sebelum ini. Dia pernah membuat ramalan satu gempa bumi berkekuatan 7.0 magnitud akan melanda Indonesia pada Mei 2026.
Tidak lama selepas itu, satu gempa bumi kuat berkekuatan 7.7 magnitud telah melanda wilayah Sulawesi, sekali gus meningkatkan kepercayaan masyarakat tempatan terhadap ramalannya.
Bagaimanapun, penulis berharap, masyarakat di rantau ini tidak panik atau menyebarluaskan informasi yang belum sahih itu. Pada masa sama, semua orang perlu sentiasa berwaspa dengan bencana alam kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa saja.
The post Gempa bumi kuat bakal landa Indonesia? appeared first on Kosmo Online.



