
TOKYO: Gempa bumi bermagnitud 6.1 melanda perairan berhampiran Tokyo pada Jumaat, menurut pihak berkuasa Jepun tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gempa cetek itu berlaku pada 7.39 malam waktu tempatan di laut berhampiran wilayah Kanto, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA) menerusi laman webnya.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa terletak kira-kira 169 kilometer tenggara Asahi, kawasan di timur ibu negara Tokyo.
JMA merekodkan intensiti seismik 3 pada skala 0 hingga 7 Jepun, bermakna hampir semua orang di dalam bangunan merasakan gegaran dan pinggan mangkuk di rak mungkin bergegar.
Tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan.
Jepun merupakan antara negara paling aktif dari segi seismik di dunia, terletak di atas pertembungan empat plat tektonik utama di sepanjang pinggir barat Lingkaran Api Pasifik.
Kepulauan yang didiami kira-kira 125 juta penduduk itu lazimnya mengalami ratusan gegaran setiap tahun dan menyumbang kira-kira 18 peratus daripada jumlah gempa bumi di dunia.
Sebahagian besar gempa bumi itu berskala kecil tetapi tahap kerosakan yang ditimbulkan bergantung pada lokasi dan kedalaman gempa di bawah permukaan bumi. – AFP
The post Gempa bumi landa perairan dekat Tokyo appeared first on Utusan Malaysia.






