
PETALING JAYA – Beberapa rakyat Malaysia yang berada di Tokyo, Jepun berkongsi pengalaman merasai gegaran gempa bumi yang berlaku awal pagi tadi.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna @hn984_ berkata, gegaran yang dirasainya ketika berada di Euno, Tokyo, berlangsung kira-kira 20 saat.
“Saya tinggal Euno dalam 20 saat macam tu terasa,” katanya.
Seorang lagi pengguna @viannanasir, turut berkongsi pengalaman pertama merasai gegaran gempa bumi sebenar ketika sedang menikmati makan malam bersama keluarga.
“Baru experience (berpengalaman) earthquake (gempa bumi) dekat Tokyo ni. Real (betul) punya rasa. Bukan rasa gempa yang ‘geli-geli’ kat Malaysia tu.
“Tengah makan malam dekat bawah dengan keluarga. Sekali gegar. Lama tau. Dah lah dah sekitar 12 tengah malam. Ada lah dalam 10 saat jugak tadi. Nervous(risau),” katanya.
Berdasarkan laporan Agensi Meteorologi Jepun (JMA), gempa bumi bermagnitud 5.5 melanda bahagian timur laut Chiba pada pukul 12.07 tengah malam tadi waktu tempatan.
Gempa itu berlaku pada kedalaman kira-kira 52 kilometer dan mencatatkan intensiti seismik maksimum lima rendah pada skala tujuh tahap Jepun di Yokoshibahikari, Chiba.
Gegaran turut dirasai di Tokyo dan beberapa wilayah berhampiran termasuk Ibaraki, Tochigi, Saitama serta Kanagawa.
Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Rakyat Malaysia kongsi rasai gegaran 20 saat di Tokyo appeared first on Kosmo Online.



