Gempa bumi lemah: Penduduk Gerik rasai gegaran

28 Aug 2026 • 11:17 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Gempa bumi lemah: Penduduk Gerik rasai gegaran
MetMalaysia memaklumkan gempa bumi itu berlaku 12.06 pagi pada koordinat 5.5 darjah Utara dan 101.3 darjah Timur, dengan pusat gempa dikesan 9 km di timur laut Hulu Perak dengan kedalaman 10 km.

IPOH - Gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 yang berlaku di Temenggor, Gerik tengah malam tadi dirasai penduduk di beberapa kawasan sekitar daerah itu termasuk Kampung Bagan Baru, Kampung Jong dan Kampung Jagor.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan gempa bumi itu berlaku 12.06 pagi pada koordinat 5.5 darjah Utara dan 101.3 darjah Timur, dengan pusat gempa dikesan 9 kilometer (km) di timur laut Hulu Perak dengan kedalaman 10 km.

Gegaran itu turut mendorong beberapa penduduk berkongsi pengalaman mereka di laman sosial menerusi kumpulan Facebook Kami Orang Gerik Original (K.O.G.O), termasuk mendakwa berasa katil, tingkap dan struktur rumah bergegar ketika kejadian.

Penduduk Kampung Bagan Baru, Mas Zaizeli Ibrahim berkata, menyedari kejadian itu selepas kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya merakam bunyi pada 12.06 tengah malam, selain katil dan tingkap bergegar.

"Saya ingat ada hantu kacau atas bumbung. Keluar rumah ingat nak suluh atas bumbung, sekali semua jiran pun keluar sebab rasa gegar,” katanya seperti dikongsikan dalam kumpulan Facebook berkenaan.

Sementara itu, penduduk Kampung Jagor, Muhd Nafis berkata, gegaran berkenaan dirasai seperti sesuatu bergerak di bawah tanah.

Penduduk Kampung Jong, Mahani Zahedin pula berkata, pada awalnya menyangka bunyi berkenaan berpunca daripada sesuatu yang bergerak di atas bumbung rumah.

"Dekat Kampung Jong pun ada (gegaran), ingatkan ada benda lari-lari atas bumbung rumah,” katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Jong, Zamzidah Mat Amin turut merasakan gegaran ketika baru hendak tidur dan pada mulanya dia menyangka sesuatu jatuh di atas bumbung atau tingkap rumah.

"Rasa seolah-olah kita tengah pening, macam bergoyang. Ingatkan saya seorang sahaja rasa, rupanya pagi ini kecoh pasal gempa ini,” katanya.

Beberapa penduduk lain menerusi kumpulan Facebook berkenaan turut berkongsi pengalaman merasai gegaran berkenaan, manakala ada yang memaklumkan mendengar bunyi sebelum menyedari kejadian gempa bumi. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved