Gempa Bumi 3.4, Penduduk Gerik Dinasihat Tidak Panik

LocalEnvironment
28 Aug 2026 • 6:14 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Gempa Bumi 3.4, Penduduk Gerik Dinasihat Tidak Panik

IPOH - Penduduk di sekitar Gerik dinasihatkan supaya tidak panik susulan kejadian gempa bumi lemah berukuran 3.4 magnitud yang dikesan di kawasan Temenggor, awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim, berkata kejadian seumpama itu pernah direkodkan di Temenggor pada 2013 dan 2016, selain Manjung pada 2009.

Beliau berkata kejadian berkenaan mendorong Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menjalankan Projek Sesar Aktif bagi mengumpul maklumat mengenai struktur sesar yang berpotensi mencetuskan gegaran dan aktiviti seismik di negeri itu.

“Projek itu dijalankan berdasarkan imej satelit, data Landsat dan kajian lapangan bagi mengenal pasti struktur sesar aktif di negeri ini.

“Secara amnya, risiko kejadian gempa bumi di Perak adalah rendah walaupun terdapat struktur sesar di beberapa kawasan.

“Sekiranya gempa bumi berlaku sekalipun, magnitudnya dijangka berada pada tahap rendah hingga sederhana,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Teh berkata fasa pertama Projek Sesar Aktif dilaksanakan pada 2016 membabitkan pengumpulan data spatial bagi mengenal pasti sesar yang berpotensi aktif di kawasan Temenggor dan Manjung.

Katanya, kewujudan sesar dikenal pasti melalui tafsiran imej satelit, radar dan peta kontur, selain data pusat gempa yang diperoleh daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Beliau berkata sesar yang berpotensi aktif kemudiannya diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu sumber titik, sumber garisan dan sumber kawasan.

“Berdasarkan hasil kajian, sesar yang berpotensi aktif di kawasan Temenggor terdiri daripada sumber garisan dan sumber titik.

“Sumber garisan di kawasan Temenggor pada asasnya dikenali sebagai Sesar Banding yang dibahagikan kepada sembilan segmen, dengan segmen dua hingga tujuh berada dalam kawasan kajian,” katanya.

Menurutnya, setiap segmen mempunyai panjang antara 2.9 kilometer hingga 6.6 kilometer dan berpotensi menghasilkan gempa bumi berukuran antara 3.0 hingga 4.1 pada skala magnitud momen (Mw).

Katanya, gempa bumi di kawasan berkenaan adalah cetek dengan magnitud maksimum berpotensi 4.1 Mw direkodkan pada kedalaman 1.6 kilometer, manakala magnitud minimum 3.0 Mw pada kedalaman 15.3 kilometer.

“Bagi sumber titik di Temenggor pula, ia terletak berhampiran Empangan Bersia dan berpotensi menghasilkan gempa bumi berukuran 2.8 Mw pada kedalaman 10 kilometer,” katanya. - Getaran, 29 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved