Gempa Bumi: Malaysia Sedia Hulurkan Bantuan - PM

28 Mar 2025 • 8:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mandalay dilanda gempa bumi berukuran 7.7 awal hari ini - Gambar REUTERS

KUALA LUMPUR - Malaysia bersedia menghulurkan bantuan dan menyokong sebarang usaha kemanusiaan yang digerakkan untuk membantu mangsa gempa bumi di Mandalay, Myanmar dan Bangkok, Thailand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat terkesan dengan bencana tersebut yang melanda bahagian tengah Myanmar itu. 

Menurut beliau, tragedi terbabit telah mengakibatkan kehilangan nyawa yang tragis serta kemusnahan teruk di Mandalay dan kawasan sekitarnya. 

“Laporan mengenai bangunan runtuh, orang awam yang terperangkap, serta jumlah korban yang semakin meningkat amat membimbangkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar fail

Menerusi hantaran sama Perdana Menteri memberitahu, kerajaan juga sedang memantau dengan teliti perkembangan di selatan Yunnan, China. 

“Gegaran turut dirasai dan kerosakan struktur telah dilaporkan.

“Bagi pihak Malaysia, saya ingin menyampaikan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada semua yang kehilangan insan tersayang, serta doa kami kepada mereka yang cedera dan kehilangan tempat tinggal,” katanya. 

Jelas Anwar, Malaysia berdiri teguh dalam solidariti bersama jiran dan negara-negara anggota ASEAN. 

“Kami mengakui pengisytiharan darurat oleh pihak berkuasa di Myanmar serta penetapan Bangkok sebagai kawasan bencana oleh kerajaan Thailand. 

“Dalam saat dukacita dan ketabahan ini, semoga pemulihan berjalan lancar, dan semoga kekuatan hubungan serantau kita membawa harapan serta pemulihan,” katanya. 

Mandalay digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.7 awal hari ini dan gegarannya turut dirasai di utara Thailand hingga ke Bangkok, menyebabkan penduduk panik dan bergegas keluar dari bangunan.

Bencana itu turut menyebabkan sebuah bangunan setinggi 30 tingkat yang masih dalam pembinaan runtuh di bahagian utara Bangkok. 

Sekurang-kurangnya 43 pekerja dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tersebut. - Getaran, 28 Mac 2025