Gempa Indonesia: Hampir 13,000 masih belum dapat pulang ke rumah

17 Aug 2026 • 4:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gempa Indonesia: Hampir 13,000 masih belum dapat pulang ke rumah

MBAY: Hampir 13,000 penduduk yang dipindahkan susulan gempa bumi kuat di timur Indonesia menantikan bantuan yang amat diperlukan pada Isnin, dengan ramai yang terpaksa berlindung di sekolah, balai polis dan pejabat kerajaan, manakala sebahagian lagi masih terkandas di kawasan tanah tinggi.

Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda awal Sabtu mengorbankan 53 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain. Pegawai penyelamat berkata, tiada laporan mengenai individu yang masih hilang.

Bagaimanapun, jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB), Berton Suar Pelita Panjaitan berkata, jumlah penduduk yang tidak dapat pulang ke rumah meningkat kepada 12,800 orang setakat pagi Isnin di beberapa kawasan di Pulau Flores.

Ramai penduduk Flores terpaksa tidur di luar untuk malam kedua berturut-turut kerana bimbang kembali ke rumah susulan ratusan gegaran susulan yang masih berlaku.

Berton Suar berkata, sekurang-kurangnya 914 rumah di pulau itu mengalami kerosakan teruk, manakala ratusan lagi mengalami kerosakan pada tahap lebih rendah.

AFP menyaksikan beberapa penduduk pekan kecil Mbay di Nagekeo yang paling hampir dengan pusat gempa berkampung dalam khemah sementara yang dibina menggunakan kanvas dan tiang.

“Rumah kami sudah tidak lagi selamat untuk didiami kerana banyak yang runtuh dan dipenuhi rekahan, jadi kami tidak boleh masuk lagi.

“Kami hanya pulang ke rumah untuk mengambil air, pakaian dan bantal, kemudian kami bermalam di sini,” kata penduduk Mbay, Junaidin, 32, kepada AFP ketika ditemui di luar khemah buatannya yang menempatkan kira-kira 30 orang.

Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap kelewatan bantuan yang didakwa berlaku ketika Indonesia meraikan Hari Kemerdekaan dengan penuh kemeriahan di ibu negara, Jakarta.

“Setakat ini bantuan daripada kerajaan belum tiba. Tiada khemah, ubat, makanan, air minuman, tiada apa-apa.

“Tolong buka mata, kerajaan. Kami rakyat kamu, kami sebahagian daripada kamu, jadi tolong jaga kami. Kami melarikan diri tanpa membawa apa-apa,” katanya.

Puluhan bangunan awam, termasuk kemudahan pendidikan dan kesihatan serta pejabat kerajaan dilaporkan turut terjejas.

NGO Save the Children berkata, lebih 8,000 kanak-kanak berdepan risiko keselamatan dan gangguan terhadap pendidikan susulan gempa bumi itu.

Tentera Udara Indonesia berkata, pihaknya membawa 13 tan bantuan kecemasan menggunakan dua pesawat pengangkut Hercules dan sebuah Boeing.

Helikopter turut dikerahkan bagi menghantar bekalan kecemasan secara terus kepada mangsa yang terselamat di kawasan terpencil, lapor agensi berita negara Antara, memetik komander Pangkalan Udara El Tari di Kupang.-AFP

The post Gempa Indonesia: Hampir 13,000 masih belum dapat pulang ke rumah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved