
JAKARTA - Sekurang-kurangnya 54 orang maut dalam gempa bumi kuat yang melanda Indonesia timur, manakala ribuan penduduk terpaksa berlindung di kawasan terbuka selepas hampir 1,600 gegaran susulan menggegarkan wilayah Nusa Tenggara Timur.
Bencana itu turut menjejaskan kira-kira 500 rumah dan mencetuskan beberapa kejadian tanah runtuh sehingga menyebabkan jalan raya terputus di beberapa kawasan, termasuk Sikka dan Manggarai, menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB).
Penduduk masih keberatan untuk kembali ke rumah masing-masing berikutan gegaran yang berterusan.
Sebahagian besar daripada mereka memilih untuk berlindung di khemah sementara pihak berkuasa bersiap sedia meneruskan operasi mencari, menyelamat dan bantuan.
Ketua Pejabat Pencarian dan Pertolongan Maumere, Fathur Rahman, berkata operasi mencari akan diteruskan, termasuk pemantauan dari udara menggunakan helikopter serta peralatan khas bagi mengesan kemungkinan mangsa yang masih terperangkap.
Bagaimanapun, tiada laporan mengenai individu yang hilang dan operasi setakat ini tidak berdepan halangan besar, menurut Fathur seperti dilaporkan Reuters.
Menurut media tempatan yang memetik ketua agensi geofizik Indonesia, wilayah berkenaan telah dilanda hampir 1,600 gegaran susulan sehingga Isnin.
Agensi itu turut merekodkan satu lagi gempa bumi bermagnitud 5.6 pada pagi Isnin.
Ketua BNPB, Suharyanto, berkata pihak berkuasa telah menyediakan pesawat untuk menghantar bekalan makanan, khemah serta barangan keperluan lain kepada penduduk yang terjejas.
Penduduk di beberapa kampung kini berdepan kekurangan bekalan asas susulan bencana tersebut.
Dalam pada itu, pihak berkuasa turut memperkukuh kemudahan perubatan kecemasan. Kementerian Kesihatan Indonesia merancang menubuhkan hospital lapangan di beberapa kawasan yang terjejas.
Timbalan Menteri Kesihatan, Benjamin Paulus Octavianus, berkata pakar bedah saraf dan pakar ortopedik amat diperlukan bagi merawat mangsa yang mengalami kecederaan kepala serta patah tulang.
Gempa itu berlaku ketika Indonesia sedang menyambut ulang tahun ke-81 kemerdekaannya. Presiden Prabowo Subianto mengetuai sambutan peringkat kebangsaan di Jakarta, kira-kira 1,500 kilometer di barat kawasan bencana.
Di sebuah kampung di Ende, penduduk yang bimbang kemungkinan berlaku tsunami bertindak menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi sambil membawa pakaian, tilam dan barangan keperluan lain.
Bagi Gervas, 42, sambutan kemerdekaan tidak lagi menjadi keutamaan apabila keselamatan keluarganya menjadi perkara paling penting.
“Saya sudah tidak memikirkan perkara itu lagi…sekarang saya hanya memikirkan keselamatan isteri dan anak kembar saya yang berusia empat tahun,” katanya. - Getaran, 17 Ogos 2026
