Gempar! BoJ Naikkan Kadar Ke 1%, Tertinggi Sejak 1995!

WorldBusiness & Finance
16 Jun 2026 • 12:30 PM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Gempar! BoJ Naikkan Kadar Ke 1%, Tertinggi Sejak 1995!

Langkah berani Bank of Japan menaikkan kos pinjaman ke paras satu peratus menggegarkan pasaran mata wang dan mengekang amuk inflasi serantau.

Melalui keputusan mesyuarat yang penuh debaran sebentar tadi, Bank of Japan secara rasmi menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas. Langkah agresif itu kini meletakkan kadar penanda aras negara matahari terbit tersebut pada paras satu peratus.

Keputusan besar ini dicapai menerusi undian majoriti tujuh berbalas satu daripada ahli lembaga pengarah dengan hanya seorang ahli sahaja yang membantah. Tindakan ini selaras dengan jangkaan para pelabur gergasi yang telah lama menghidu perubahan angin dasar monetari di Tokyo.

Pihak bank pusat menegaskan bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk terus menaikkan kadar faedah pada masa hadapan (Hawkish) demi bertindak balas terhadap kestabilan harga. Mereka melihat rantaian kenaikan harga minyak mentah global telah meresap masuk ke dalam pasaran domestik dengan sangat pantas.

Fenomena ini berisiko mencetuskan amuk inflasi yang lebih parah pada barangan keperluan harian masyarakat Jepun. Oleh itu tindakan menaikkan kadar faedah ini adalah langkah yang terpaksa diambil bagi menghalang harga pengguna daripada meluncur keluar daripada landasan sasaran.

Dasar Bon Negara Mula Diubah Suai

Selain daripada isu kadar faedah pihak bank pusat turut mengumumkan pelan pengetatan kuantitatif menerusi pengurangan pembelian bon kerajaan secara berperingkat. Mereka akan mengurangkan belian sebanyak 200 bilion Yen pada setiap suku tahun sehingga awal tahun 2027 nanti.

Selepas tempoh berkenaan tamat mereka merancang untuk menetapkan pembelian bulanan pada paras sekitar dua trilion Yen sahaja. Walau bagaimanapun bank pusat berjanji akan bertindak tangkas menyuntik modal sekiranya berlaku lonjakan kadar pulangan bon jangka panjang secara mendadak.

Sejurus selepas pengumuman rasmi tersebut pasaran mata wang asing terus menyaksikan pergerakan yang sangat rancak dan agresif. Pasangan mata wang Dolar AS berbanding Yen Jepun dikesan menyusut ke sekitar paras 160.15 apabila para pedagang mula memburu mata wang Yen.

Pelabur antarabangsa kini mula meneliti semula portfolio pelaburan mereka kerana kadar faedah sebenar di Jepun selama ini berada dalam zon negatif. Kebangkitan nilai Yen ini dijangka akan menarik pulang limpahan modal asing yang selama ini berteduh di pasaran barat.