PUTRAJAYA - Menggempur kartel penyeludupan diesel, sindiket sisa elektronik (e-waste) selain tindakan ke atas kes penyelewengan dana kemanusiaan antara kejayaan besar dicapai Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2021.
Pencapaian lain ialah penubuhan unit khas bersenjata Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) pada 5 Oktober 2023.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, ACTS diwujudkan bagi melaksanakan operasi berisiko tinggi termasuk kes rasuah berprofil tinggi, selain memperkukuh keupayaan SPRM dalam menghadapi situasi taktikal mencabar dengan penggunaan peralatan moden dan pegawai terlatih khas.
Menurutnya, SPRM turut memperkukuh Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang ditubuhkan sejak 2018 susulan pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Kes ini di bawah koordinasi SPRM bersama agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"MATF menjadi platform utama membanteras rasuah, penyeludupan serta pengubahan wang haram selain memulihkan hasil negara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Hisyam berkata, antara operasi besar di bawah MATF ialah Op Metal dan Op Nature yang membongkar sindiket e-waste dan sisa plastik haram sehingga menyebabkan kerugian hasil negara dianggarkan melebihi RM950 juta dalam tempoh enam tahun.
Katanya, operasi itu turut menyaksikan pembekuan 16 akaun bank bernilai lebih RM10.2 juta serta tindakan terhadap pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Tambah beliau, MATF juga mencatat kejayaan besar melumpuhkan kartel penyeludupan diesel bernilai RM247 juta menerusi Op Karen pada September 2025.
"Sebanyak 498 akaun bank dengan nilai kira-kira RM110 juta telah dibekukan dan lima kapal bernilai
RM52 juta disita, serta rampasan 4.5 juta liter diesel bernilai RM9.7 juta," ujarnya.
**media[3516885]**
Kontena terbang
Katanya lagi, SPRM turut membongkar kes 'Kontena Terbang' di Pelabuhan Klang yang dianggarkan menyebabkan ketirisan hasil negara sehingga RM3.5 bilion dalam tempoh 10 tahun, selain merampas wang tunai RM4.4 juta daripada pegawai kastam yang terlibat.
Jelas beliau, dari sudut pendekatan penyiasatan pula, SPRM memperkenalkan Intelligence Based Investigations (IBI) iaitu kaedah siasatan proaktif berasaskan risikan dan analisis data bagi mengesan jenayah sebelum laporan dibuat.
"Pendekatan ini memberi fokus kepada kes rasuah bersindiket dan 'grand corruption' dengan penggunaan teknologi forensik kewangan bagi menjejaki aliran dana.
"IBI turut dikreditkan sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kadar sabitan kes SPRM sehingga 95 peratus, selain menjadi asas pemodenan operasi agensi itu," ujarnya.
Selain itu, latihan khusus turut diperkenalkan melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) bagi memperkukuh kepakaran pegawai.
Menurut beliau, antara kejayaan ketara IBI ialah pendedahan sindiket 'Counter Setting' di lapangan terbang selepas enam bulan risikan, yang membawa kepada serbuan besar-besaran serta penahanan puluhan pegawai penguat kuasa dengan rampasan melebihi RM9 juta melibatkan emas, kenderaan mewah dan wang tunai.
Kata beliau lagi, SPRM turut memberi tumpuan kepada kes grand corruption dan pemulihan aset negara, termasuk kejayaan memulihkan sekitar RM31 bilion atau 70 peratus dana 1MDB, menjadikannya antara kadar pemulihan aset tertinggi di dunia.
Selain itu, siasatan turut melibatkan kes Jana Wibawa yang menggunakan analisis aliran tunai bagi mengesan penyelewengan dana projek serta beberapa kes berprofil tinggi membabitkan tokoh politik termasuk rampasan aset dan wang tunai bernilai besar.
"SPRM juga menumpaskan rangkaian mafia korporat yang melibatkan golongan profesional seperti peguam dan akauntan sebagai 'enabler' kepada sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai, termasuk melalui Ops Sky yang menyaksikan 16 individu didakwa, 98 akaun bank dibekukan berjumlah RM17 juta serta rampasan pelbagai aset mewah," ujarnya.
Ujar Hisyam, dalam aspek keselamatan negara, Op Sohor pada 14 Oktober 2025 membongkar kegiatan pegawai perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didakwa membocorkan maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan dengan nilai rasuah RM3 juta, melibatkan tindakan pendakwaan terhadap empat pegawai kanan.
"Kes penyelewengan dana kemanusiaan Aman Palestin turut mencuri perhatian apabila melibatkan 164 pertuduhan dengan kerugian dianggarkan RM39.5 juta selain pembekuan 11 akaun bank dan penyitaan jongkong emas.
"Dari aspek pengubahan wang haram, SPRM berjaya memulihkan kira-kira RM15.5 bilion aset negara dalam tempoh 2021 hingga awal 2026 melalui pengesanan aliran kewangan rentas sempadan dan pemetaan pemilik benefisial sebenar," katanya.
Dalam pada itu, sebagai langkah pencegahan, SPRM turut memperkenalkan inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC) bersama Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) bagi memperkukuh budaya integriti melalui penglibatan masyarakat, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan.
"Keseluruhan pencapaian ini dilihat mencerminkan pendekatan lebih agresif, moden dan berasaskan risikan dalam usaha memperkukuh agenda membanteras rasuah serta memulihkan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan negara," ujarnya.

