SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan 216 kes penyelewengan barangan asas dan komoditi bahan api bernilai lebih RM2.9 juta menerusi Op Tiris 4.0 sejak 16 Mac lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, jumlah itu direkodkan setakat 9 April lalu.
Menurutnya, mengikut pecahan jumlah, bagi barangan asas, minyak masak mencatatkan 22 kes dengan nilai rampasan RM62,746.40, diikuti gula melibatkan 17 kes berjumlah RM34,969.70 dan tepung gandum sebanyak lima kes bernilai RM1,385.80.
"Keadaan ini menunjukkan bahawa aktiviti penyelewengan tidak hanya tertumpu di stesen minyak malah turut berlaku di premis lain.
"Bagi komoditi bahan api pula, diesel merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 85 kes dengan nilai rampasan RM2,715,081.66.
"Ini diikuti petrol sebanyak 59 kes (RM67,445.65) dan gas petroleum cecair (LPG) dengan 28 kes (RM44,806.94)," katanya kepada Sinar Harian.
**media[3493868]**
Beliau berkata, pembelian berulang merupakan salah satu taktik sindiket yang menggunakan banyak kenderaan atau 'runner' untuk membuat pengisian petrol RON95 secara berulang kali di stesen minyak yang sama atau berbeza dalam tempoh singkat.
Dedahnya, setiap kenderaan akan mengisi dalam kuantiti kecil bagi mengelak kelihatan mencurigakan atau melepasi had yang ditetapkan.
"Namun secara keseluruhan jumlah yang dikumpulkan adalah besar.
"Ada juga kes di mana kenderaan akan berulang-alik ke beberapa stesen minyak berbeza bagi mengelakkan dikesan sistem pemantauan. Petrol yang diperoleh kemudiannya akan dipindahkan ke dalam tong, tangki simpanan, lori bonded dan sebagainya sebelum dijual kepada industri," ujarnya.
Mengulas mengenai apakah fokus Op Tiris 4.0, Azman menjelaskan, KPDN menjalankan secara menyeluruh dan pemantauan dari rantaian bekalan hingga ke peringkat peruncit.
Katanya, antara fokus utama ialah pemeriksaan stesen minyak dengan pemantauan dan rondaan harian dilakukan secara intensif di stesen minyak, terutamanya di kawasan sempadan dan kawasan yang disifatkan berisiko tinggi selain turut menempatkan pegawai secara statik di stesen minyak yang mencatatkan jualan tinggi secara mencurigakan.
"KPDN juga memfokuskan kepada pemeriksaan buku log stesen, semakan peti lawatan dan melakukan pengauditan mengejut (surprise audit) secara berkala ke atas pengusaha stesen minyak.
"Selain pemeriksaan kenderaan dan laluan sempadan, serbuan stor haram yang menjadi tempat pengumpulan bahan api juga diberi fokus," ujarnya.
Tegas Azman, KPDN memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan atau penyeludupan bahan api bersubsidi seperti petrol RON95 dan diesel.
"Tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap individu atau sindiket yang didapati bersalah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]," katanya.
Jelas beliau, Op Tiris 4.0 juga dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain termasuklah memperkukuh risikan serta pemantauan di kawasan hotspot.




