Gen Dinosaur tempelak Gen Strawberi, sikit-sikit ‘resign’

30 Oct 2026 • 11:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Gen Dinosaur tempelak Gen Strawberi, sikit-sikit ‘resign’

PETALING JAYA – Perdebatan antara generasi lama dan muda mengenai ketahanan bekerja kembali hangat apabila golongan 40-an ‘Gen Dinosaur’ mempersoalkan sikap sesetengah Gen Z yang memilih berhenti kerja demi mencari peluang lebih baik.

Isu itu tercetus susulan hantaran seorang pengguna Threads daripada Gen Z yang menyifatkan tindakan meletak jawatan apabila tidak menyukai pekerjaan sebagai peluang untuk meneroka pengalaman dan mempelajari perkara baharu.

Menurut pengguna itu, berbeza dengan generasi terdahulu yang sanggup bertahan 10 hingga 15 tahun dalam pekerjaan termasuk berdepan makian atas alasan membina ketahanan mental.

Katanya, golongan muda kini atau popular digelar Gen Strawberi lebih mengutamakan perkembangan kerjaya.

“Strawberi pun (Gen) Strawberi la. Awak Gen Dinosaur kena hadap kerja tu untuk 10 ke 15 tahun pun telan je, kena maki pun reda je demi membina kekuatan mental kononya. Sedangkan hidup tak ada perkembangan untuk bertahun. Kita tak sama,” katanya.

Bagaimanapun, pandangan pengguna tersebut mengundang reaksi pelbagai pihak, termasuk seorang pengguna yang menyifatkan golongan terdahulu turut memikul tanggungjawab menyara anak dalam kumpulan Gen Z sementara menunggu mereka mendapat pekerjaan.

“Gen Dinosaur yang kena maki ni jugak lah yang masih tanggung anak yang tak kerja selagi tak jumpa kerja yang sesuai,” katanya.

Seorang lagi pengguna yang mengakui dirinya juga adalah Gen Z berkata, tidak semua anak muda mempunyai sikap sama terutama gemar bertukar-tukar kerja.

“Saya percaya ramai lagi Gen Z yang masih pegang nilai kerja keras, humility (rendah diri) and learning from mistakes (dan belajar dari kesalahan),” katanya.

Pengguna itu menambah, kejayaannya memegang jawatan pengurusan dan memiliki perniagaan sampingan tidak dapat dipisahkan daripada dorongan generasi terdahulu yang membantunya berkembang.

“Sekarang, aku kerja keras demi membalas jasa mak ayah ‘dinosaur’ aku yang dah bertungkus-lumus bagi kehidupan yang senang dekat anak Gen Z mereka ini.

“Nak bawak mereka pergi bercuti, pergi haji dan semuanya, nak bagi kehidupan yang baik pada mereka. Gen Dinosaur ini layak untuk dihargai dalam besarkan Gen Z,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengguna milenial berpandangan budaya berhenti kerja juga wajar dinormalisasikan sekiranya pekerja berdepan persekitaran toksik atau majikan yang enggan berubah.

Katanya, tindakan pekerja meninggalkan organisasi secara beramai-ramai boleh menjadi isyarat kepada majikan supaya lebih menghargai hak pekerja dan mewujudkan suasana kerja profesional.

Sementara itu, seorang pengguna lain mengingatkan bahawa generasi terdahulu tidak semestinya bertahan dalam pekerjaan kerana mahu membina ketahanan mental, sebaliknya ada yang terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan hidup keluarga.

“Tak baik cakap macam ini. Gen Dinosaur dulu tak ada pilihan yang banyak macam sekarang.

“Telan makian bukan demi membina kekuatan mental, tapi demi kelangsungan keluarga. Ramai yang kena bantu mak ayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Gen Dinosaur tempelak Gen Strawberi, sikit-sikit ‘resign’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved