Genap setahun insiden Putra Heights: Trauma, rumah masih belum diduduki

1 Apr 2026 • 2:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penduduk memegang sepanduk sebagai tanda protes selepas sidang akhbar Pelancaran Laporan dan Video Dokumentasi Kajian Letupan Gas Putra Heights di sini pada Rabu.

 

SUBANG JAYA - Genap setahun insiden letupan saluran paip gas Putra Heights di sini, rata-rata penduduk mengakui masih menderita dan menanggung trauma kerana belum dapat menduduki rumah masing-masing yang belum dibaik pulih.

Seorang penduduk, Ooi Sui Li, 43, berkata, kehidupan keluarganya berubah sepenuhnya sejak kejadian itu apabila tiga ahli keluarganya mengalami lecur serius pada kulit.

Menurutnya, lebih sebulan mereka sekeluarga terlantar di hospital dan sehingga kini masih perlu menjalani rawatan susulan termasuk pembedahan tanam kulit.

"Selain menjalani kehidupan harian seperti bekerja dan menghantar anak ke sekolah, kami juga perlu membahagikan masa untuk rawatan berterusan.

"Saya kesal, sehingga kini tiada mana-mana pihak tampil menunjukkan keprihatinan atau sekurang-kurangnya bertanya khabar mengenai keadaan kami sekeluarga," katanya semasa sidang akhbar Pelancaran Laporan dan Video Dokumentasi Kajian Letupan Gas Putra Heights di sini pada Rabu.

Sui Li memberitahu, mereka sekeluarga juga masih belum boleh menduduki kediaman yang terjejas berikutan kerja pembaikan rumah yang belum dilaksanakan.

Beliau berkata, walaupun terdapat laporan menyatakan kerajaan sedang berusaha membantu membina semula rumah terjejas, namun terdapat syarat tertentu yang dianggap tidak adil kepada mangsa.

"Mereka tidak nyatakan kami perlu menandatangani dokumen untuk melepaskan hak menuntut sebarang bentuk keadilan bagi insiden ini sebagai balasan kepada pembaikan rumah.

"Kami sepatutnya menerima pampasan yang adil untuk semua trauma dan penderitaan dialami termasuk kesan pada masa depan," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Gani Abdul Aziz, 58, berkata, kediamannya antara paling teruk terjejas kerana terletak kira-kira 60 meter dari insiden letupan.

Menurutnya, kebanyakan rumah mengalami kerosakan kecil sudah siap dibaik pulih termasuk mangsa terjejas yang menerima peruntukan RM60,000 daripada kerajaan.

"Namun bagi rumah yang teruk seperti rumah saya, kebanyakannya masih belum siap dan perkembangan kerja sangat perlahan walaupun sudah setahun berlalu.

"Sepatutnya rumah kami sudah siap, namun mungkin disebabkan prosedur atau birokrasi menyebabkan kerja menjadi lambat," jelasnya.

Beliau berkata, beberapa kerja pembaikan sudah dilakukan termasuk pemasangan bumbung, pemeriksaan struktur, kerja merobohkan bahagian rosak serta pemasangan pendawaian dan paip.

"Selepas kejadian, kami berpindah ke rumah sewa sejak hujung Mei tahun lalu dan sehingga kini masih belum dapat pulang.

"Tambahan pula, ada jiran mengambil tindakan mahkamah, selain ada yang sudah menandatangani SST (Surat Setuju Terima) dan sebahagian lagi membaiki rumah sendiri menyebabkan keadaan kejiranan tidak lagi seperti dahulu,” katanya.

Menurutnya, situasi itu menyukarkan mereka untuk kembali menetap kerana kebanyakan rumah di sekeliling masih terbiar.

"Kalau rumah kita siap sekali pun, tetapi kiri dan kanan rumah masih tak diduduki, adakah kita hendak tinggal di sana?" Soalnya.

Seorang lagi penduduk, Mazlan Mohamed, 63, berkata, penduduk masih berdepan ketidakselesaan kerana terpaksa berdepan dengan pencemaran bunyi dan habuk susulan kerja pembaikan yang dijalankan termasuk pada waktu malam.

Menurutnya, kediamannya terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian, namun kesan masih dirasai sehingga kini.

"Harapan saya sekurang-kurangnya isu paip gas ini diselesaikan dan tuntutan kami ditunaikan.

"Kerosakan rumah juga tidak dapat dibaik pulih sepenuhnya kerana bantuan dihadkan kepada RM60,000, manakala tuntutan melebihi jumlah itu memerlukan kami menandatangani SST," jelas beliau.

Beliau berkata, keadaan itu menyukarkan penduduk yang tidak mempunyai wang mencukupi untuk membaiki rumah sepenuhnya kerana perlu mendahulukan kos sendiri sebelum membuat tuntutan.

"Jika tidak cukup RM60,000, baki kerosakan seperti dinding retak terpaksa dibiarkan kerana tidak mampu dibaiki,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan, berkata, sebahagian rumah terjejas akibat insiden itu sudah mula dibaiki oleh kontraktor yang dilantik selepas pemilik bersetuju menandatangani SST.

Bagaimanapun, katanya, terdapat penduduk yang mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman sivil sekali gus menyebabkan beberapa proses berkaitan masih tertangguh di mahkamah.

"Rumah yang sudah tandatangan SST, kerja pembaikan sudah bermula, namun ada juga kes masih berjalan di mahkamah dan belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

"Laporan pertama mengenai punca kejadian sudah dikeluarkan, manakala laporan kedua oleh badan bebas masih belum diterima setakat ini," jelas beliau.

Katanya, hasil laporan itu akan dikongsi kepada orang awam sebaik ia dimuktamadkan.

"Sepanjang tempoh ini, saya sentiasa berhubung dengan penduduk dan terbuka untuk mereka tampil mengemukakan sebarang isu untuk diselesaikan.

"Perkara ini juga boleh dirujuk kepada persatuan penduduk yang sering berhubung dengan saya mengenai perkembangan semasa," tambah beliau.

Menurutnya, bagi aspek pampasan, pihak bertanggungjawab turut menyediakan satu platform khas bagi membolehkan mangsa mengemukakan tuntutan ganti rugi.

"Tuntutan boleh dibuat melalui saluran disediakan atau menerusi tindakan mahkamah sekiranya terdapat pihak yang tidak berpuas hati.

"Mangsa berhak mendapatkan pampasan berdasarkan kerugian dialami sama ada melalui tuntutan terus atau proses perundangan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga kini sedang meneliti semula dasar serta aspek keselamatan termasuk pelan perlindungan kepada penduduk khususnya melibatkan pembangunan berhampiran laluan saluran paip.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan tahap keselamatan dapat dipertingkatkan dan kejadian sama tidak berulang pada masa depan.

"Pihak berkaitan juga sudah menjalankan pemeriksaan ke atas saluran paip bukan sahaja di kawasan Putra Heights, tetapi melibatkan keseluruhan rangkaian bagi memastikan ia berada dalam keadaan selamat.

"Pada masa depan, laporan lanjut akan dikeluarkan bagi memperincikan langkah yang perlu diambil demi menjamin keselamatan penduduk," jelas beliau.