Gencatan senjata tenaga Trump runtuh, Russia-Ukraine saling serang

WorldPolitics
16 Oct 2026 • 11:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gencatan senjata tenaga Trump runtuh, Russia-Ukraine saling serang

KYIV: Usaha Rumah Putih untuk merundingkan gencatan senjata dalam serangan terhadap sektor tenaga antara Russia dan Ukraine gagal apabila Moscow dan Kyiv saling melancarkan serangan.

Russia melancarkan serangan dron terbesar setakat ini pada waktu malam ke atas infrastruktur di tengah Ukraine, manakala Kyiv dilihat menyambung semula serangan terhadap kilang penapisan minyak Russia meskipun diberi amaran oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Moscow menuduh Kyiv melancarkan serangan terhadap sebuah kilang penapisan minyak di wilayah Ryazan, serangan pertama seumpamanya sejak Trump secara mengejut mengumumkan gencatan senjata tenaga yang tidak pernah dipersetujui oleh Russia mahupun Ukraine.

Trump mendesak Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menghentikan serangan terhadap kilang penapisan minyak Russia dengan mendakwa tindakan itu menyebabkan kenaikan harga bahan api diesel di seluruh dunia.

Serangan terhadap dua kapal yang tidak terlibat dalam konflik di perairan wilayah Romania, berhampiran muara Sungai Danube turut menunjukkan serangan terhadap sasaran komersial yang terdedah mungkin semakin meluas.

Presiden Romania, Nicușor Dan, berkata, dua dron Russia menceroboh ruang udara negara itu sebelum menyerang dua kapal tangki bahan kimia sehingga terbakar. Pasukan penyelamat sedang mencari sekurang-kurangnya tujuh anak kapal yang dilaporkan hilang.

“Keadaan di Laut Hitam serius. Kapal komersial diserang dan ditenggelamkan. Pelaut terbunuh, cedera dan hilang, berhampiran pantai Romania dan Bulgaria. Ini tidak boleh diterima dan mesti dihentikan,” katanya.

Pada Rabu, Zelensky berkata, Ukraine akan menyambung semula serangan terhadap kilang penapisan minyak Russia selepas menghentikannya buat sementara waktu bagi menunjukkan kesediaan Kyiv mengadakan rundingan damai.

“Sekatan terhadap serangan ke atas kilang penapisan sudah ditarik balik. Kita sudah selesai,” katanya kepada Financial Times.

Ukraine turut menyerang balas aset ketenteraan Russia dengan memusnahkan empat pesawat pejuang dan pengebom Sukhoi Su-34 serta merosakkan dua lagi, menurut Zelensky.

Tentera Ukraine berkata, pihaknya menggunakan peluru berpandu kruis Neptune untuk menyerang sebuah pangkalan udara di wilayah Voronezh, selatan Rusia.

Di Ukraine, lebih 360 dron Russia menyasarkan wilayah Kirovohrad di bahagian tengah negara itu, kawasan yang sebelum ini tidak mengalami serangan seteruk wilayah lain. Serangan itu mengorbankan tiga orang dan mencederakan enam lagi.-AGENSI

The post Gencatan senjata tenaga Trump runtuh, Russia-Ukraine saling serang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved