
CYBERJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan persetujuan gencatan senjata pantas antara Thailand dan Kemboja sebagai pencapaian luar biasa ASEAN.
Beliau berkata kejayaan ini membuktikan kekuatan, komitmen dan keazaman pemimpin serantau.
Kejayaan itu dicapai melalui kerjasama pelbagai peringkat termasuk pemimpin dan angkatan tentera kedua-dua negara.
“Saya perlu berterima kasih kepada pemimpin Kemboja dan Thailand, anggota Kabinet, dan Panglima Angkatan Tentera di sini yang memainkan peranan penting,“ katanya.
Anwar menyatakan hubungan dan kepercayaan antara tentera dengan pemimpin ASEAN sangat mengagumkan.
Ucapannya disampaikan semasa merasmikan sambutan Hari ASEAN ke-58 bertemakan “Ke Arah Masa Depan ASEAN yang Inklusif dan Mampan”.
Beliau menekankan tahap kepercayaan tinggi membolehkan persefahaman dicapai dengan pantas.
Anwar menambah perjanjian ini mungkin yang pertama dalam sejarah dicapai secepat dan seberkesan ini. - Bernama

