
KUALA LUMPUR — Kejayaan Malaysia memainkan peranan sebagai orang tengah dalam gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja disumbangkan oleh kerjasama erat negara-negara ASEAN.
Bercakap sempena sambutan Hari ASEAN ke-58, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa sokongan berterusan daripada pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain, termasuk Presiden dan Perdana Menteri negara anggota.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Thailand dan Kemboja, termasuk Kabinet dan ketua-ketua angkatan tentera mereka. Ini membuktikan tahap kepercayaan yang wujud bukan sahaja di peringkat diplomatik, tetapi juga ketenteraan,” katanya.
Gencatan senjata tersebut dimeterai susulan pertemuan di Putrajaya antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha, dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit.
Malaysia turut diberi mandat untuk terus menjadi perantara dan pemantau situasi sempadan, dengan sokongan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Perbincangan juga mencadangkan penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) bagi tujuan bantuan kemanusiaan, pemantauan sempadan dan koordinasi perubatan.
“Konflik di sempadan Thailand–Kemboja mengingatkan kita betapa pantasnya ketegangan boleh memuncak jika tidak ditangani dari awal,” ujar Anwar.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri mengesahkan bahawa Kuala Lumpur bakal menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini, yang dijangka dihadiri pemimpin utama dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Presiden China Xi Jinping, Presiden Brazil Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.
Katanya, kehadiran tokoh-tokoh berpengaruh dunia itu menandakan peluang penting untuk ASEAN mengukuhkan kedudukannya di peringkat global.
“Kehadiran mereka hanyalah langkah pertama. Cabaran sebenar adalah memastikan mereka pulang dengan keyakinan terhadap ASEAN, serta membawa hasil yang memberi impak jangka panjang,” jelasnya.
Menerusi ucapan sama, Anwar turut menyeru agar ASEAN tidak melupakan asas penubuhannya pada tahun 1967.
“Saya yakin para pengasas ASEAN akan berbangga dengan pencapaian hari ini, tetapi kita mesti terus ingat matlamat asal penubuhan blok ini masih relevan,” katanya.
Dari sudut ekonomi, Perdana Menteri mengulangi komitmen Malaysia untuk memperkukuh perdagangan rentas sempadan, pelaburan, jaringan tenaga dan infrastruktur keterhubungan serantau di bawah kepengerusiannya tahun ini.
Menurutnya, kemajuan yang dicapai adalah hasil daripada nilai diplomasi dan kerjasama selama beberapa dekad di rantau ini.
Beliau turut tidak ketinggalan berterima kasih kepada Presiden Trump dan Xi atas sokongan mereka terhadap peranan Malaysia sebagai perantara damai.
“Ini mencerminkan kepercayaan terhadap kepengerusian Malaysia dalam ASEAN dan reputasi ASEAN sebagai rantau yang komited kepada keamanan dan kemakmuran,” katanya. - Getaran, 8 Ogos 2025

