Generasi matang tahu cara berbeza pandangan – Fadhlina

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 4:37 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Generasi matang tahu cara berbeza pandangan – Fadhlina

PETALING JAYA – Negara yang matang bukan dibina oleh generasi yang sentiasa bersetuju dalam setiap perkara, sebaliknya mereka yang tahu bagaimana untuk berbeza pandangan dengan penuh adab.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di laman Facebook hari ini berkata, generasi muda perlu dididik supaya berani menyuarakan pendirian dan berfikir secara kritis tanpa mengetepikan adab ketika berhadapan pandangan berbeza.

Menurutnya, perkara itu antara pendidikan karakter yang perlu terus disuburkan dalam kalangan generasi muda.

“Kita mahu mereka berani bersuara, kritis berfikir dan tetap beradab ketika berbeza pandangan.

“Kerana negara yang matang bukan dibina oleh generasi yang semuanya bersetuju. Ia dibina oleh generasi yang tahu bagaimana mahu berbeza,” katanya.

Fadhlina berkata demikian selepas menghadiri Forum Remaja Madani Peringkat Kebangsaan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa Pustaka (DBP) yang menurutnya peserta telah mempamerkan kemampuan berhujah dengan petah, tersusun dan tenang.

Katanya, peserta bukan sahaja mampu bercakap dengan baik, malah tahu membina hujah, mencabar pandangan pihak lawan serta mempertahankan pendirian tanpa meninggalkan adab.

“Mereka sedang belajar bagaimana mahu berfikir sebelum berbicara.

“Mereka belajar menyusun pemikiran, menyatakan pendirian, mendengar pandangan yang berbeza dan mempertahankan hujah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program seumpama itu juga menjadi platform penting dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dengan memberikan ruang kepada generasi muda menggunakannya secara yakin.

Katanya, usaha memperkukuh bahasa Melayu tidak seharusnya sekadar meminta golongan muda mencintai bahasa kebangsaan, sebaliknya perlu menyediakan ruang untuk mereka menggunakannya.

“Bahasa akan menjadi kuat apabila generasi yang mewarisinya merasakan bahasa itu cukup besar untuk membawa pemikiran mereka,” ujarnya.

Fadhlina turut mengucapkan tahniah kepada pemenang dan semua peserta selain menghargai DBP, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) serta Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) yang menjayakan program berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post Generasi matang tahu cara berbeza pandangan – Fadhlina appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved