Genetec catat rugi bersih RM40.9 juta pada 4QFY25 disebabkan kos logistik tinggi

28/08/2025 - 18:22
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Genetec Technology Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM40.9 juta pada suku keempat berakhir 30 Jun 2025 (4QFY25) disebabkan oleh kos logistik yang lebih tinggi walaupun mempunyai asas perniagaan yang kukuh.
Kumpulan itu berkata, prestasi lemah itu dipengaruhi kekangan logistik dan kos luar jangka, tetapi kumpulan terus meningkatkan pelaburan bagi mengukuhkan keupayaan serta menyokong skop projek masa depan.
Genetec bagaimanapun mencatatkan hasil sebanyak RM44.8 juta pada suku berkenaan dengan sebahagian besarnya dipacu oleh segmen e-mobiliti dan penyimpanan tenaga, serta disokong segmen elektronik.
"Syarikat menjangkakan keuntungan kembali normal pada FY26 sejajar dengan pemulihan pasaran dan pelaksanaan projek yang lebih berkesan.
"Genetec juga sedang memperkukuh organisasinya dengan membawa masuk profesional berpengalaman ke jawatan strategik, bagi memperluas keupayaan serta menyokong strategi kepelbagaian jangka panjangnya," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengasas Bersama Genetec, Chin Kem Weng berkata, FY25 merupakan tahun peralihan dan pihaknya membuat pilihan strategik yang sengaja dirancang untuk mengukuhkan asa syarikat melindungi garis masa pelancaran dan menyokong skop projek baharu.
Beliau berkata, walaupun faktor ini memberi kesan kepada margin dalam jangka pendek, ia sebenarnya memperkukuh keupayaan serta kredibiliti kumpulan sebagai rakan kongsi yang dipercayai.
"Kami menjangkakan keuntungan akan kembali normal apabila pasaran semakin stabil dan apabila kami membina pengalaman pelaksanaan projek.
"Pada masa yang sama, prospek kami kekal kukuh, disokong tempahan berulang daripada pelanggan sedia ada serta peluang baharu merentasi pelbagai industri dan wilayah," katanya. - DagangNews.com
standard
