OSK catat peningkatan untung bersih 10.3% kepada RM142 juta pada 2QFY25 didorong lonjakan pelbagai segmen

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2025 • 3:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

OSK catat peningkatan untung bersih 10.3% kepada RM142 juta pada 2QFY25 didorong lonjakan pelbagai segmen

image is not available

28/08/2025 - 15:11

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - OSK Holdings Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) sebanyak 10.3% kepada RM142 juta berbanding RM128.7 juta pada tahun sebelumnya didorong lonjakan ketara segmen perindustrian, perkhidmatan kewangan dan hartanah.

Hasil kumpulan itu pada suku berkenaan turut melonjak sebanyak 39% kepada RM510.6 juta berbanding RM368.4 juta sebelum ini.

Katanya, segmen perindustrian menjadi penyumbang utama, dengan hasil melonjak 163% kepada RM198.8 juta dengan untung kasarnya meningkat 143% kepada RM14.1 juta.

Peningkatan ini terutamanya disokong oleh jualan yang lebih tinggi daripada bahagian kabel dengan mendapat manfaat daripada peningkatan pesanan daripada kedua-dua entiti utiliti awam dan pelanggan sektor swasta.

"Kilang baharu yang diperoleh di Johor Bahru turut mengukuhkan lagi kapasiti pengeluaran, sekali gus meletakkan bahagian tersebut pada kedudukan kukuh untuk pertumbuhan berterusan.

"Dengan kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf mesin yang sedang dijalankan untuk beberapa suku tahun akan datang, kecekapan pengeluaran dijangka naik secara berperingkat. Inisiatif strategik jualan dan pemasaran juga sedang digerakkan bagi merebut peluang baharu di pasaran lain," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Segmen perkhidmatan kewangan turut mencatatkan prestasi kukuh, dengan hasil meningkat 32% kepada RM141.6 juta didorong pengembangan portfolio di Malaysia dan Australia.

Penyempurnaan pengambilalihan Wilayah Credit Sdn Bhd pada 1 Ogos 2025, yang mengkhusus dalam pembiayaan motosikal di bawah perniagaan pembiayaan pengguna, dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan Kumpulan dalam jangka sederhana apabila perniagaan tersebut berkembang secara berperingkat.

Segmen hospitaliti mencatatkan hasil sebanyak RM25.4 juta, menurun daripada RM26.2 juta sebelum ini, berikutan pendapatan terjejas oleh kerja-kerja pengubahsuaian Fasa 2 di Swiss-Garden Beach Resort Kuantan.

Kerja-kerja naik taraf yang merangkumi dewan utama, kemudahan mesyuarat dan konvensyen, restoran serta kawasan awam telah menjejaskan sementara aliran hasil utama seperti operasi makanan dan minuman serta acara persidangan.

OSK berkata, mereka telah melaksanakan langkah kukuh bagi mengukuhkan rangka kerja keselamatan siber, menegaskan komitmennya dalam melindungi aset digital dan mengekalkan daya tahan operasi.

“Pelaksanaan ini membolehkan pemantauan menyeluruh terhadap jejak digital kami, membantu mengenal pasti kerentanan, menguruskan risiko pihak ketiga, dan mengekalkan tahap kebersihan keselamatan yang mantap di seluruh ekosistem kami,” katanya. - DagangNews.com

standard