
BINTULU: Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Bintulu berjaya menangkap tiga lelaki warga tempatan dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri diesel.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali dalam kenyataannya berkata kesemua suspek terbaharu dalam Op Lusuh itu dipercayai terlibat dalam rangkaian kes curi minyak diesel di sekitar daerah ini.
“Bertindak atas risikan dan maklumat awal sepasukan polis dari BSJ IPD Bintulu telah menjalankan operasi bermula 25 Februari sehingga 26 Februari.
“Hasil tindakan pantas pasukannya ketiga-tiga suspek yang berusia antara 22 hingga 32 tahun terbabit telah berjaya diberkas di lokasi berasingan di sekitar Bintulu.
“Modus operandi kumpulan ini ialah dikesan bergerak aktif pada waktu malam dengan menggunakan kenderaan persendirian bagi mencari duit sampingan dengan mencuri minyak diesel.
“Hasil siasatan awal mendapati salah seorang suspek bertindak menyediakan kenderaan dengan menerima upah wang tunai manakala suspek lain melakukan aktiviti mencuri secara bersama,” katanya.
Mengulas lanjut Nixon menyatakan tangkapan yang dijalankan turut menyita dua buah kenderaan iaitu sebuah Proton Saga dan Proton Waja yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti jenayah mereka.
Menurutnya semakan yang dijalankan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta kes pecah rumah di beberapa daerah lain seperti Kapit, Sibu dan Song.
“Kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” tambahnya.
