MELAKA - Polis Melaka berjaya melumpuhkan satu kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai "Geng Harraz", dipercayai dalang di sebalik rentetan kes curi kenderaan, pecah rumah, dan samun di sekitar daerah Melaka Tengah sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejayaan itu susulan penahanan empat lelaki tempatan dalam satu operasi khas, 'Op Lejang Melaka' yang dijalankan oleh Bahagian D4 (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di kawasan Permatang Pasir, Alai, pada 19 Mac lepas.
Beliau berkata, kesemua suspek yang berusia antara 24 hingga 32 tahun itu ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas satu laporan kecurian motosikal diterima oleh pihak polis.
"Siasatan awal mendapati kumpulan ini mula aktif sejak Januari lepas dan terlibat dalam sekurang-kurangnya 12 kes jenayah melibatkan kecurian motosikal, van serta kes pecah rumah dan samun di kawasan Kandang, Bemban, Banda Hilir, dan Tanjung Minyak.
"Modus operandi mereka adalah menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125ZR dan Honda EX5 dengan menggunakan 'master key' atau besi T yang diubah suai, sebelum meleraikan komponen kenderaan tersebut untuk dijual kepada pihak ketiga bagi menghapuskan bukti serta dijadikan sumber pendapatan," katanya pada sidang media berkaitan kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.
Christopher berkata, semakan rekod mendapati kesemua suspek merupakan penganggur yang baru dibebaskan dari penjara pada Oktober tahun lepas dan mempunyai lebih 20 rekod jenayah lampau yang serius berkaitan kes kecurian, pecah rumah serta dadah.
"Hasil saringan air kencing juga mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine manakala dua daripada empat suspek tersebut dalam senarai orang dikehendaki,” katanya.
Dalam operasi tersebut polis turut merampas enam buah motosikal pelbagai jenis, sebuah van Nissan Vanette, serta peralatan khas yang digunakan untuk mencuri kenderaan, dengan nilai rampasan dianggar lebih RM50,000.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi curi kenderaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi pecah rumah dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan bagi kesalahan samun.
Selain itu, katanya, kesemua suspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kesemua suspek kini direman sehingga esok (26 Mac) untuk membantu siasatan lanjut. Pihak polis juga sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian kumpulan ini sebagai pembeli barang curi," katanya. - Bernama

