
KUALA LUMPUR – Kegiatan penyeludupan migran warga Bangladesh yang didalangi kumpulan dikenali sebagai Geng Shafik akhirnya tumpas selepas dipercayai aktif membawa masuk warga asing secara haram ke negara ini sejak awal tahun.
Sindiket tersebut dipercayai menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama dengan menawarkan pakej kemasukan tidak sah pada kadar antara RM12,000 hingga RM15,000 seorang, sekali gus membolehkan mereka mengaut keuntungan dianggarkan mencecah RM1.6 juta dalam tempoh beberapa bulan.
Operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah premis sekitar Petaling Jaya pada Isnin lalu berjaya membongkar kegiatan berkenaan.
Memetik laporan Kosmo, sindiket terbabit dipercayai menggunakan rumah transit sebagai lokasi perlindungan sementara sebelum migran dihantar ke destinasi tertentu sekitar Lembah Klang.
Rumah Transit Jadi Tempat Perlindungan
“Hasil operasi tersebut, seramai sembilan lelaki warga Bangladesh dipercayai mangsa sindiket berjaya ditahan bersama dua lagi lelaki yang disyaki ahli sindiket.
“Dua suspek itu dipercayai bertindak sebagai fasilitator selain menjaga rumah transit untuk menempatkan migran sebelum dihantar ke lokasi tertentu,” kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai menggunakan laluan beberapa negara sebelum membawa masuk migran ke Malaysia melalui Kelantan sebelum dipindahkan ke sekitar Lembah Klang.
Semua individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 49 tahun dan kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – The Malaysian Update
The post Geng Shafik Kaut RM1.6 Juta Seludup Migran Bangladesh appeared first on The Malaysian Update.






