liza21/10/2026 - 16:41 Di bawah MoU itu, Gentari dan BYD Malaysia akan mengenal pasti lokasi sesuai untuk membangunkan infrastruktur BYD Flash Charging termasuk di sepanjang koridor utama antara bandar yang menghubungkan pusat-pusat tumpuan penduduk Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt – Gentari Sdn Bhd dan BYD Malaysia Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka pelaksanaan teknologi pengecasan pantas BYD Flash Charging di Malaysia yang berpotensi menyediakan jarak pemanduan kira-kira 400 kilometer dalam tempoh lima minit bagi model kenderaan elektrik (EV) yang tertentu.
Kerjasama itu bertujuan memacu pembangunan infrastruktur pengecasan EV berkuasa tinggi, termasuk penggunaan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), bagi menjadikan proses pengecasan lebih pantas dan mudah kepada pengguna.
Bagaimanapun, pelaksanaan teknologi berkenaan di Malaysia masih pada peringkat penerokaan dengan kedua-dua pihak akan menilai kesesuaian lokasi, keperluan teknikal serta aspek komersial sebelum menentukan peluang pembangunan projek.
Di bawah MoU itu, Gentari dan BYD Malaysia akan mengenal pasti lokasi sesuai untuk membangunkan infrastruktur BYD Flash Charging termasuk di sepanjang koridor utama antara bandar yang menghubungkan pusat-pusat tumpuan penduduk.
Kedua-dua pihak turut menilai keperluan infrastruktur bekalan kuasa sokongan, penggunaan sistem penyimpanan tenaga bateri, pertimbangan teknikal dan komersial serta model operasi yang berpotensi bagi membolehkan teknologi itu dilaksanakan pada skala lebih besar pada masa hadapan.
Stesen pengecas berkualiti dan mudah diakses
MoU berkenaan ditandatangani oleh Sushil Purohit dan Jacob Ma di Shenzhen, Guangdong, China, pada 21 Oktober 2026, dengan disaksikan wakil kedua-dua organisasi, termasuk Pengerusi Kumpulan BYD, Wang Chuanfu, serta beberapa wakil kanan PETRONAS, Gentari dan BYD.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gentari, Sushil Purohit berkata, perkembangan pasaran EV Malaysia memerlukan pengalaman pengecasan yang berkualiti, mudah diakses dan boleh dipercayai bagi menyokong fasa pertumbuhan penggunaan EV seterusnya.
“Kelajuan pengecasan sahaja tidak mencukupi kerana pengguna turut memerlukan kemudahan di lokasi strategik, bekalan kuasa stabil dan operasi yang boleh dipercayai.
“Gabungan kepakaran BYD dalam teknologi EV, bateri dan pengecasan berkuasa tinggi dengan pengalaman Gentari membangunkan serta mengendalikan rangkaian pengecasan EV dijangka menyediakan asas untuk menyokong pembangunan ekosistem pengecasan EV negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Pendaftaran EV meningkat 98.8%
Kerjasama itu berlangsung ketika pasaran EV Malaysia terus berkembang dengan sebanyak 53,537 pendaftaran EV baharu direkodkan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, meningkat 98.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan itu mencerminkan peningkatan penggunaan EV di Malaysia, selain menyokong aspirasi negara untuk mempercepatkan elektrifikasi kenderaan, termasuk sasaran kerajaan menyediakan 30,000 lokasi pengecasan EV awam di seluruh negara menjelang 2030.
Gentari kini mengendalikan lebih 600 lokasi pengecasan EV di Malaysia dan menyediakan akses kepada kira-kira 18,000 lokasi pengecasan di Malaysia, Singapura, Thailand dan India menerusi Gentari Go Roaming Hub.
BYD mahu perluas teknologi ke pasaran antarabangsa
Sementara itu, Naib Presiden BYD merangkap Pengurus Besar Bahagian Jualan Automotif BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang berkata, syarikat itu melabur dalam teknologi pengecasan termaju bagi menangani kebimbangan pengguna EV terhadap tempoh pengecasan.
Beliau berkata, BYD kini berusaha memperluas penggunaan teknologi berkenaan ke pasaran antarabangsa, selain pasaran domestiknya.
“Malaysia merupakan pasaran penting bagi BYD dan kerjasama dengan Gentari membolehkan kedua-dua pihak meneroka sumbangan teknologi BYD Flash Charging terhadap pengalaman pengecasan yang lebih pantas, mudah dan saling berhubung di negara ini,” katanya.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma pula berkata, usaha membangunkan ekosistem EV yang menyeluruh bukan sekadar tertumpu pada penyediaan kenderaan berkualiti tinggi, tetapi juga memastikan pelanggan mendapat pengalaman pemilikan EV yang lancar.
Beliau berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting bagi BYD di Malaysia dalam menyokong peralihan pengguna kepada kenderaan elektrik. - DagangNews.com



