Gentari dan Gamuda bangunkan projek solar 1.5 GW untuk pusat data

25/08/2025 - 15:43
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 25 Ogos – Gentari Sdn Bhd melalui anak syarikatnya, Gentari Renewables Sdn Bhd dan Gamuda Energy Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik bagi membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kira-kira 1.5 GW melalui loji janakuasa solar fotovoltaik lengkap dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Projek itu dibangunkan di bawah rangka kerja Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) dan disasarkan untuk memenuhi keperluan tenaga dalam industri pusat data berskala besar.
Kedua-dua syarikat itu berkata, kerjasama tersebut menggabungkan kepakaran Gentari dalam pembangunan dan operasi tenaga boleh diperbaharui berskala besar dengan kepakaran Gamuda dalam kejuruteraan, pembinaan, dan penyampaian projek infrastruktur kompleks, termasuk tenaga boleh diperbaharui.
“Gabungan kekuatan kedua-dua pihak ini dijangka mempercepat peralihan tenaga bersih negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab ekonomi digital serantau,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Menurut kedua-dua syarikat, pusat data berskala besar adalah penting untuk pengkomputeran awan, AI, dan perkhidmatan digital yang dijangka memerlukan lebih 5 GW kuasa boleh dipercayai menjelang 2035.
“Situasi itu memerlukan satu inisiatif yang berani untuk syarikat memperluas kapasiti tenaga boleh diperbaharui bagi memenuhi permintaan yang meningkat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Tenaga Boleh Diperbaharui Gentari, Low Kian Min berkata, Gentari kini mempunyai lebih 8 GW kapasiti tenaga boleh diperbaharui yang telah dipasang dan sedang dibina di pasaran operasinya.
“Ekonomi digital Malaysia berkembang pesat dan memerlukan kuasa yang boleh dipercayai serta mampan.
“Memperluaskan kapasiti tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja penting untuk memenuhi permintaan ini, tetapi juga kunci kepada pertumbuhan jangka panjang.
“Gentari komited bekerjasama dengan Gamuda untuk melaksanakan projek tenaga bersih yang praktikal dan boleh diskalakan, selaras dengan aspirasi sifar bersih negara dan menyumbang kepada peralihan tenaga global,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Gamuda Energy, Joshua Kong Sing Hoe pula berkata, ketersediaan tenaga bersih penting untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan mengekalkan pelaburan daripada syarikat teknologi terkemuka dunia di Malaysia.
“Kerjasama ini memastikan rakan pusat data kami mendapat bekalan tenaga bersih yang berdedikasi, mampan dan boleh diperbesarkan untuk mengurangkan jejak karbon operasi mereka.
“Inisiatif ini menjadi model kerjasama masa depan dalam menyokong pembangunan mampan dan aspirasi sifar bersih negara,” katanya. - DagangNews.com
standard

