Thomson Medical Group rancang projek berskala besar RM18 bilion di Johor Bay

25/08/2025 - 17:13
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 25 Ogos – Thomson Medical Group (TMG) merancang pembangunan berskala besar di tepi laut Johor Bahru dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM18 bilion, menjadikannya salah satu projek hartanah berkaitan kesihatan swasta terbesar di Asia Tenggara.
Projek seluas 10.52 hektar di Johor Bay itu menggabungkan elemen penjagaan kesihatan, kediaman, hotel dan pembangunan komersial yang lain.
Tumpuan utama projek tersebut ialah Hospital Thomson Iskandariah, sebuah hospital swasta yang menawakna pebagai kepakaran yang berpotensi menampung lebih 1,000 katil.
TMG berkata, di sekeliling hospital tersebut, projek itu turut menyediakan suite perubatan pakar, kemudahan penjagaan warga emas dan golongan memerlukan selain peruntukan untuk kediaman mewah, hotel lima bintang, apartmen servis, boulevard pejalan kaki, pusat runcit dan laluan tepi laut.
“TMG menyasarkan Johor sebagai lokasi strategik berikutan lokasinya yang begitu hampir dengan Singapura serta kos sara hidup lebih rendah, selaras dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Pembangunan ini dijangka mendapat manfaat tambahan selepas siapnya laluan Rapid Transit System (RTS) pada 2027, menjadikan tapak Johor Bay hanya lebih satu kilometer dari stesen RTS di Bukit Chagar,” kata TMG dalam satu kenyataan.
Fasa pertama projek bernilai RM3.1 bilion akan merangkumi hospital dan menara kediaman mewah 47 tingkat dengan kira-kira 180 unit, direka sebagai “vila di langit” lengkap dengan taman dan kemudahan kesihatan.
TMG menjangka fasa awal ini dapat menjana lebih 1,200 pekerjaan secara langsung dan tidak langsung, menyokong sasaran JS-SEZ untuk mewujudkan 20,000 jawatan mahir dalam tempoh lima tahun.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TMG, Lee Hon Hwa berkata, projek Johor Bay memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab kesihatan utama di Asia Tenggara dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelancong perubatan, profesional rentas sempadan dan populasi warga emas serantau. “Projek ini bukan sahaja memperluas jejak TMG di Malaysia, tetapi juga mengukuhkan peranan kami sebagai penyedia rumusan penjagaan kesihatan bersepadu,” katanya.
Kerajaan Johor sangat menyokong pembangunan projek itu sebagai sebahagian daripada strategi ekonomi jangka panjang negeri apabila Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkannya sebagai pembangunan yang akan “mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab kesihatan utama di Asia Tenggara” sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan lebih luas Zon Ekonomi Khas di negeri tersebut.
TMG kini mengendalikan Thomson Hospital Kota Damansara dan TMC Fertility Centre di Malaysia, serta kemudahan wanita dan kanak-kanak utama di Singapura, menjadikan Johor Bay sebagai lokasi pengembangan seterusnya bagi portfolio mereka di rantau ini. - DagangNews.com
standard

