Gentari, JomCharge, chargEV bekerjasama perluas akses kepada lebih 600 titik pengecasan di Malaysia

Business & Finance
3 Jul 2023 • 2:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gentari, JomCharge, chargEV bekerjasama perluas akses kepada lebih 600 titik pengecasan di Malaysia

diyana

03/07/2023 - 14:48

KUALA LUMPUR 3 Julai - Gentari Sdn Bhd melalui anak syarikatnya, Gentari Green Mobility Sdn Bhd telah mengaktifkan rangkaian perayauan titik pengecasan kenderaan elektrik (EV) dengan kerjasama EV Connection Sdn. Bhd (EVC) dan anak syarikat Yinson GreenTech iaitu Green EV Charge Sdn Bhd (GEV).

Menurut satu kenyataan media bersama hari ini, kerjasama ketiga-tiga pihak ini membolehkan akses silang kepada titik pengecasan dalam rangkaian Gentari, JomCharge dan chargEV, serta penjejakan silang melalui aplikasi mudah alih Setel, JomCharge dan chargEV masing-masing.

Pengguna EV mempunyai akses mudah kepada lebih 600 titik pengecasan di seluruh Malaysia termasuk di Malaysia Timur, bersamaan dengan kira-kira 60% daripada stesen pengecasan EV di negara ini.

Jelasnya, ini membolehkan pemandu EV mengakses stesen pengecasan, mengaktifkan dan membayar daripada mana-mana platform rakan kongsi dengan mudah.

image is not available

Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli, berkata kerjasama tersebut menawarkan akses kepada rangkaian yang luas untuk memperkasakan pemandu EV dengan keyakinan rangkaian.

“Kami saling komited untuk terus memupuk inovasi dan kerjasama ke arah mencapai kemajuan dan kepantasan kolektif dalam membina ekosistem yang diperlukan bagi mendorong penggunaan EV,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Teknikal EVC, Dr Che Hang Seng menambah bahawa pengguna EV kini dapat menikmati pengalaman pengecasan yang lancar, di mana mereka boleh menemui dan mengakses lebih 600 titik pengecasan merentasi rangkaian pengecasan EVC, ChargEV dan Gentari menggunakan hanya satu aplikasi pilihan mereka.

“Pembangunan keupayaan perayauan sistem kami juga merupakan yang pertama di Malaysia dan kami percaya lebih banyak pengendali titik pengecasan akan mengikutinya” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan menyatakan komitmen syarikat terhadap peralihan inklusif agar tiada sesiapa yang ketinggalan dalam usaha mencapai masa depan sifar bersih.

“Menggandingkan chargEV dengan Gentari dan EV Connection merupakan satu langkah ke hadapan untuk mengembangkan rangkaian pengecasan EV dengan cepat, menjadikannya mudah diakses, di samping memperkasakan perniagaan dan individu dalam menerima pakai pengangkutan mampan,” ulas beliau.

Ketiga-tiga syarikat ini telah menghadiri Energy Asia 2023 untuk mempamerkan dan memperkenalkan rangkaian perayauan kepada perwakilan baru-baru ini. - DagangNews.com