Genting Plantations teroka perniagaan benih sayuran, kurangkan kebergantungan terhadap kelapa sawit - PublicInvest

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2025 • 9:56 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Genting Plantations teroka perniagaan benih sayuran, kurangkan kebergantungan terhadap kelapa sawit - PublicInvest

image is not available

19/08/2025 - 09:56

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Genting Plantations Berhad mengambil langkah strategik mempelbagaikan sumber pendapatannya dengan menceburi perniagaan benih sayur-sayuran bernilai tinggi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kelapa sawit.

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, langkah itu direalisasikan melalui usahasama (JV) dengan syarikat berpangkalan di China, Shouguang Vegetable Science and Technology Sdn Bhd (SVST), yang dijangka membuka aliran pendapatan berulang baharu kepada kumpulan bagi jangka panjang.

Katanya, menerusi usahasama itu, Genting Plantations akan memegang 60% kepentingan melalui anak syarikatnya, AGCT Vegetable AgVentures Sdn Bhd, manakala baki 40% akan dimiliki oleh SVST.

Firma penyelidikan itu berkata, projek itu melibatkan penubuhan dua syarikat JV yang akan membangunkan sebuah Pusat Kecemerlangan seluas 28.32 hektar di Kulai, Johor, yang merangkumi kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk benih sayuran tropika, rumah hijau penanaman, pusat pameran inovasi agroteknologi serta kilang pemprosesan bagi aktiviti import dan eksport produk pertanian.

"Langkah ini membolehkan Genting Plantations meneroka pasaran benih sayuran yang mempunyai potensi pertumbuhan dan margin keuntungan yang tinggi, sambil memanfaatkan kepakaran luas serta teknologi canggih daripada SVST.

"Ia menandakan transformasi strategik dalam model perniagaan kumpulan dan bakal menjadi pemacu pertumbuhan baharu," katanya dalam satu nota kajian.

Jumlah pelaburan yang dianggarkan untuk projek itu ialah sekitar RM525 juta, dengan bahagian Genting Plantations berjumlah kira-kira RM315 juta.

Kumpulan itu juga merancang membiayai pelaburan itu melalui dana dalaman dan/atau pinjaman bank, disokong kedudukan kewangan kukuh syarikat dengan nisbah hutang bersih yang rendah iaitu 0.23x serta rizab tunai besar berjumlah RM1.9 bilion.

PublicInvest berkata, industri melihat langkah itu sebagai strategi positif bagi Genting Plantations dalam mengurangkan risiko daripada turun naik harga minyak sawit mentah (MSM) serta cabaran berkaitan cuaca yang sering menjejaskan hasil tanaman sawit.

Katanya, usahasama itu bukan sahaja dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan, tetapi juga meletakkan syarikat dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan permintaan terhadap pertanian mampan dan keselamatan makanan — dua tema penting dalam ekonomi global masa kini.

"Kami mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM5.61 sesaham," katanya.- DagangNews.com

standard