Genting Sempah-Gombak sesak kemalangan treler bawa muatan batu bata

12 Jul 2024 • 6:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kemalangan mengakibatkan lorong kecemasan, tengah dan laju terhalang.

image is not available
Kejadian kemalangan di Jalan Genting Sempah-Gombak tular di media sosial, pada Jumaat.

image is not available
Kemalangan turut melibatkan kereta serta motosikal.

GOMBAK - Sebuah treler yang membawa muatan batu bata dilaporkan terbabas hingga mengakibatkan kemalangan dengan beberapa kenderaan di Kilometer (KM) 27.5 arah barat Genting Sempah ke Gombak pada Jumaat.

Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dalam kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang.

"Terdapat kemalangan di KM27.5 arah barat (Genting Sempah - Gombak) dan tumpahan batu bata dari KM31.6 hingga ke lokasi kemalangan.

"Kemalangan mengakibatkan lorong kecemasan, tengah dan laju terhalang," katanya.

Tambah kenyataan itu, trafik sesak arah barat dari KM38.8 hingga ke lokasi kemalangan, manakala trafik sesak arah timur dari KM23.8 hingga KM29.6.

Berdasarkan paparan video dan gambar yang tular, selain treler, kelihatan kemalangan turut melibatkan kereta serta motosikal.

Namun, punca serta jumlah mangsa kemalangan masih belum diketahui.

Difahamkan juga, satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh pihak polis.

AKAN MENYUSUL