Gerak perancangan awal MAHA 2028 dari sekarang – Mohamad Sabu

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 5:36 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Gerak perancangan awal MAHA 2028 dari sekarang – Mohamad Sabu

PUTRAJAYA – Persiapan dan perancangan awal untuk Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) seterusnya boleh digerakkan dari sekarang, sekali gus meneruskan kecemerlangan dicipta semasa MAHA 2026 baru-baru ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sehubungan itu, penambahbaikan dikemukakan semasa post mortem (bedah siasat) wajar diteliti kesesuaian pelaksanaan terutama jika ia melibatkan kos kewangan.

“Tapak penganjuran MAHA juga wajar ditingkatkan kesediaan supaya ia dapat beroperasi pada tahap yang optimum. Keupayaan MARDICorp untuk menjana hasil untuk digunakan bagi tujuan di atas perlu diteliti kesesuaian pelaksanaan,” katanya berucap pada Majlis Apresiasi MAHA 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata, jalinan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan pelbagai pihak merentasi lain kementerian, kerajaan negeri, pemain industri, pihak berkepentingan dan juga di peringkat antarabangsa seharusnya diperluaskan.

“Kita wajar menjadikan manfaat penganjuran MAHA dapat dirasai dan ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan sektor agromakanan secara umumnya,” katanya.

Mohamad berkata, MAHA 2026 yang berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September lalu berjaya menjadi pembuka mata kepada belia untuk mencebur diri dalam sektor agromakanan.

“Dengan catatan dua juta penglibatan belia pada MAHA 2026, ia merupakan isyarat positif masa depan sektor agromakanan akan dipelihara dan diteruskan oleh golongan belia.

“Program usahawan belia dan bimbingan daripada pemimpin industri yang telah kita tonjolkan kepada golongan belia semasa MAHA 2026 perlu diteruskan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MAHA boleh dianggap antara majlis terbesar dan utama dianjurkan oleh kerajaan, serta mendapat sambutan rakyat jelata seluruh negara.

“Penganjuran MAHA adalah sesuatu istimewa bukan saja pada saya, tapi kepada kita semua warga kementerian. Oleh kerana MAHA ini antara acara terbesar, cabaran untuk melaksanakan dan menjayakan bukan semudah seperti menuturkan kata-kata di bibir sahaja.

“Perancangan, pelaksanaan, penyelarasan melibatkan banyak pihak dan yang membanggakan kita semua ialah, MAHA ini dijayakan oleh kita umpama ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’,” katanya.

Menyentuh tentang Belanjawan 2027, beliau berkata, pertambahan peruntukan kepada KPKM mencerminkan kepercayaan dan keyakinan berterusan kerajaan terhadap usaha kementerian dalam keterjaminan makanan dan kelangsungan sektor pertanian negara.

Terdahulu, pada pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan KPKM meningkat kepada RM6.92 bilion, iaitu kenaikan sebanyak RM50.31 juta (0.73 peratus) berbanding RM6.87 bilion pada tahun 2026. – KOSMO! ONLINE

The post Gerak perancangan awal MAHA 2028 dari sekarang – Mohamad Sabu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved