
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diseru supaya terus menyuarakan solidariti terhadap Palestin serta menyumbangkan bantuan melalui saluran yang dipercayai dalam usaha membantu rakyat negara itu yang terus berdepan dengan penderitaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, masyarakat antarabangsa juga perlu terus didesak supaya bertindak menghentikan keganasan, memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan serta mempertahankan hak rakyat Palestin untuk hidup secara merdeka dan bermaruah.
Bersempena dengan memperingati tiga tahun peristiwa 7 Okt, beliau mengingatkan semua pihak bahawa keamanan dan kebebasan rakyat Palestin perlu terus diperjuangkan.
“Nyawa orang awam, khususnya anak-anak, wajib dilindungi. Perjuangan ini menuntut keteguhan hati dan kebersamaan kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook dan turut mendoakan agar rakyat Palestin dilindungi serta dikurniakan keamanan yang adil serta berkekalan.
Mohamad turut menyeru agar rakyat Malaysia mendoakan mereka yang terkorban serta keluarga yang menanggung kehilangan akibat konflik berkenaan dan semua pihak terus bersatu serta tidak membiarkan penderitaan rakyat Palestin dilupakan, selain mengelakkan kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama. – Bernama
The post Bantu mereka hidup merdeka, bermaruah – Mohamad Sabu appeared first on Kosmo Online.






