
WASHINGTON: Dalam tempoh hanya beberapa tahun, syarikat pemula teknologi pengawasan Flock telah memasang lebih 100,000 kamera pembaca nombor pendaftaran kenderaan di seluruh Amerika Syarikat (AS).
Namun, gerakan akar umbi yang berang kerana kebimbangan terhadap privasi kini melawan balik, malah ada yang bertindak sehingga merosakkan peralatan berkenaan secara sistematik.
Kali pertama gerakan itu memutuskan untuk merosakkan salah satu kamera itu, seorang individu yang menggelarkan dirinya Nomark dan biasanya berpakaian serba hitam berkata, dia sangat gementar.
Kini, selepas melumpuhkan kira-kira 30 peranti berkenaan berhampiran kediamannya di kawasan Minneapolis, dia memberitahu AFP: “Saya tidak begitu takut lagi.”
Kamera Flock dipasang oleh jabatan polis, persatuan pemilik rumah dan syarikat, kononnya untuk membantu menangkap penjenayah ketika melakukan kesalahan.
Data berkenaan dimuat naik ke sistem awan Flock dan boleh dikongsi dengan pelanggan yang melanggan perkhidmatannya.
Namun, pihak yang menentang sistem itu berang dengan apa yang mereka anggap sebagai alat berbahaya yang boleh digunakan untuk menceroboh privasi serta kebebasan sivil rakyat Amerika.
Pada usia baru 20 tahun, Nomark menawarkan panduan cara demi cara kepada 500,000 pengikutnya di Instagram tentang cara menjadikan kamera tersebut tidak berfungsi, selain meningkatkan kesedaran mengenai kewujudan peranti itu.
Pengkritiknya dengan tepat menunjukkan bahawa tindakannya adalah menyalahi undang-undang, tetapi individu yang mempunyai pandangan sama turut mengikut jejaknya di seluruh negara sejak beberapa minggu lalu.
Gerakan menentang Flock kini semakin mendapat sokongan dan tidak lagi boleh dianggap sebagai kumpulan kecil yang radikal.
Penyokongnya telah aktif dalam talian selama berbulan-bulan, menghasilkan peta kamera, berkongsi kaedah untuk menghalang kanta kamera dan memuji wira yang ditangkap kerana merosakkannya.
Kumpulan Facebook DeFlock America mempunyai lebih 600,000 ahli dan jumlah itu meningkat ribuan orang setiap hari.
Kamera Flock merakamkan imej pegun kenderaan, termasuk merekodkan jenama, model, warna, nombor pendaftaran dan ciri-ciri lain seperti pelekat pada bampar.
Berbeza dengan kamera pengawasan biasa yang tidak saling berhubung dalam rangkaian, data ini disimpan sehingga sebulan dan boleh dikongsi, termasuk merentasi sempadan negeri.
Pengkritik bimbang sistem itu membolehkan anggota polis menjejaki kenderaan tanpa mendapatkan waran, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan penyalahgunaan kuasa.
Menurut siasatan The Washington Post, sekurang-kurangnya 50 anggota polis telah dituduh menyalahgunakan sistem Flock, kebanyakannya untuk mengintip pergerakan pasangan romantik atau bekas pasangan mereka.- AFP
The post Gerakan akar umbi AS bangkit menentang kamera rakam nombor plat kenderaan appeared first on Utusan Malaysia.

