Geran khas interim Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion - PM

LocalPolitics
16 Sep 2026 • 10:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Geran khas interim Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion - PM
Anwar berucap pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Rabu. Foto Bernama

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mengumumkan geran khas interim bagi Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sebelum ini berkuat kuasa tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan akan terus berunding dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak ke arah memuktamadkan satu formula yang mampan dalam menentukan kadar Pemberian Khas tahunan tersebut.

"Sebelum ini saya sudah umum untuk Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.

"Atas semangat setiakawan, persahabatan dan semangat Malaysia, malam ini saya umum untuk Sarawak RM1.5 bilion juga, itu adalah hasil persahabatan dan rundingan yang baik,” kata beliau semasa berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Tetamu kehormat pada sambutan itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengenai sebarang isu berbangkit dalam kesatuan Malaysia, Anwar berkata, tiada masalah yang tidak boleh direlai dan diselesaikan.

"Saya bersyukur kerana melalui semangat (kesatuan Malaysia) ini kita telah dapat melaksanakan pelbagai projek dan program (untuk kepentingan rakyat)," kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau mahu syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bekerjasama sebagai satu pasukan dalam membangunkan negara.

Perdana Menteri berkata, bagi mencapai kesepakatan, kedua-dua pihak perlu menghormati dan mengiktiraf hak serta undang-undang sama ada di peringkat negeri dan Persekutuan.

"Kita mengambil keputusan supaya perjanjian komersial antara Petronas dan Petros disegera dan dimuktamadkan. Tidak ada sebab mengapa hal ini tidak diselesaikan," kata Anwar. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved