KUALA LANGAT, 13 JAN: Geran bagi mendorong penggiat industri pelancongan menghasilkan produk baharu mula diagih hujung bulan ini, kata ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor.
Chua Yee Ling berkata geran RM200,000 diserahkan kepada 20 persatuan pelancongan bertujuan merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

“Setiap penggiat industri bakal menerima insentif RM10,000 sebagai galakan kepada mereka untuk menghasilkan produk baharu yang lebih menarik sekali gus menarik pelancong tempatan dan luar.
“Geran penggiat industri pelancongan ini akan diperluas untuk siri kedua dan terbuka kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya selepas perasmian mural di Kampung Baru Jenjarom di sini, semalam.

November tahun lalu, EXCO pelancongan pada pra pelancaran Kempen TMS2025 memaklumkan Kerajaan Negeri meluluskan geran RM200,000 bagi mendorong penggiat industri pelancongan menonjolkan produk baharu yang lebih menarik.
Kata Dato’ Ng Suee Lim, geran yang memanfaatkan penggiat industri antara lain bertujuan memastikan sektor berkenaan terus pulih dan berkembang selepas terjejas ketika pandemik Covid-19.
The post Geran penggiat industri pelancongan hasil produk baharu diagih hujung bulan ini appeared first on Selangorkini.




