
LONDON: Gerhana matahari penuh kedua paling lama pada abad ke-21 akan berlaku tahun depan, memberikan peluang yang jarang kepada pemerhati langit untuk menyaksikan lebih enam minit keadaan gelap sepenuhnya.
Sebelum ini, gerhana matahari penuh paling lama berlaku pada abad ke-21 ialah 22 Julai 2009. Ia mencapai tempoh keseluruhan maksimum selama 6 minit 39 saat.
Namun, gerhana kedua paling lama itu akan berlaku pada 2 Ogos tahun depan dengan tempoh keseluruhan mencapai enam minit 23 saat, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Fenomena itu dijangka melintasi beberapa kawasan di Eropah Selatan, Afrika Utara dan Asia Barat termasuk bandar seperti Cadiz, Tangier, Banghazi, Luxor serta Jeddah.
Ia bakal menjadi antara fenomena astronomi paling menakjubkan pada abad ke-21 dan merupakan gerhani matahari penuh kedua paling lama dalam abad ini.
Namun, mereka yang terlepas peluang itu perlu menunggu sangat lama untuk menyaksikan gerhana yang mempunyai tempoh panjang.
Gerhana matahari penuh seterusnya yang dijangka berlangsung lebih lama daripada gerhana 2027 hanya akan berlaku pada 2114.
Ini bermakna golongan dewasa hari ini, malah kebanyakan anak-anak mereka, berkemungkinan tidak akan berpeluang menyaksikan gerhana sepanjang itu lagi.
Semasa gerhana penuh, bulan bergerak tepat di antara bumi dan matahari.
Ia menghalang sepenuhnya cakera terang matahari bagi mereka yang berada di sepanjang laluan sempit gerhana.
Gerhana pada 2027 amat istimewa kerana tempoh keseluruhannya yang luar biasa panjang.
Tempoh maksimum enam minit 23 saat itu hanya dapat disaksikan dari kawasan tertentu di sepanjang laluan gerhana, manakala lokasi lain akan mengalami tempoh kegelapan yang lebih singkat. – AGENSI
The post Gerhana matahari kedua paling lama tahun depan appeared first on Utusan Malaysia.





