Gesa Wakil Rakyat Patuh Arahan Parti, BN Terima Kritikan Netizen

LocalPolitics
21 Nov 2026 • 8:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Gesa Wakil Rakyat Patuh Arahan Parti, BN Terima Kritikan Netizen

KUALA LUMPUR - Gesaan Barisan Nasional (BN) supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Negeri Sembilan akur kepada arahan kepimpinan mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial.

Menerusi beberapa komen di Facebook, tindakan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, apabila ada yang berpendapat BN seolah-olah mengetepikan tanggungjawab menghormati institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Isu terbabit timbul susulan kenyataan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, yang memaklumkan bahawa ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) bersetuju mematuhi sebarang arahan daripada kepimpinan parti masing-masing berhubung kemelut politik negeri.

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Ray GM mempersoalkan pendirian berkenaan dengan mengingatkan pemimpin BN bahawa isu terbabit turut membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Orang minta kamu patuh kepada Yang di-Pertuan Besar, bukannya parti. Berhentilah mencetuskan drama, UMNO,” tulisnya di ruangan komen laman Facebook UMNO Negeri Sembilan.

Seorang lagi pengguna, Mohd Irwan Wahid, pula mempersoalkan sejauh mana UMNO berpegang kepada slogan kesetiaan kepada Raja dan negara.

“Mana slogan setia kepada Raja dan negara?” soalnya.

Terdahulu, Mohamad memaklumkan, 22 daripada 25 ADUN BN dan PN menghadiri satu mesyuarat khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan, Seremban, yang berlangsung sebelum tengah malam.

Menurut kenyataan itu, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, tidak menghadiri mesyuarat berkenaan, manakala dua ADUN yang berada di luar negara telah menyatakan sokongan penuh terhadap sebarang keputusan yang dicapai.

“Dalam mesyuarat khas ini, semua ADUN mencapai kata sepakat untuk menerima dan mematuhi sebarang arahan daripada kepimpinan parti serta keputusan parti, termasuk membabitkan ADUN daripada Perikatan Nasional,” menurut kenyataan itu.

BN memaklumkan kesepakatan berkenaan bertujuan menyelesaikan kemelut politik yang berlaku dengan segera demi memastikan kestabilan pentadbiran serta kebajikan rakyat terus terpelihara.

Bagaimanapun, perkembangan terbabit turut membabitkan persoalan mengenai kedudukan Menteri Besar dan pendirian institusi istana.

Sebelum ini, Tuanku Muhriz telah menitahkan supaya Ismail meneruskan tugas sebagai Menteri Besar bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri tidak terjejas.

Pihak istana turut menegaskan bahawa Ismail perlu membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ADUN bagi membolehkannya terus menyandang jawatan berkenaan. - Getaran, 21 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved