
SEREMBAN – Seramai 24 daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan sepakat akur dengan sebarang keputusan pucuk pimpinan parti bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negeri itu.
Kesepakatan itu dicapai dalam perjumpaan khas lebih dua jam bermula pukul 9.30 malam membabitkan ADUN BN dan PN yang berlangsung di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini malam tadi.
Perjumpaan itu dipengerusikan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Daripada jumlah keseluruhan 25 ADUN, seramai 22 hadir, manakala tiga lagi tidak menyertai perjumpaan berkenaan termasuk ADUN Juasseh yang juga Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Dua lagi ADUN iaitu Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) dan Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) pula tidak hadir kerana berada di luar negara.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka sudah menyatakan sokongan penuh terhadap apa juga keputusan yang dicapai dalam perjumpaan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, semua ADUN yang hadir turut bersetuju untuk akur dan patuh kepada sebarang arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti, termasuk membabitkan ADUN daripada PN.
“Ini bagi memastikan segala kemelut politik yang sedang melanda dapat diselesaikan segera demi kestabilan dan kemakmuran rakyat Negeri Sembilan,”kata Mohamad. – KOSMO! ONLINE
The post 24 ADUN BN-PN sepakat akur keputusan pucuk pimpinan parti appeared first on Kosmo Online.






