
Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas Tham Yun Fook (gambar) menggesa Kerajaan Negeri mempercepatkan pelaksanaan langkah-langkah bagi menangani kekurangan ruang parkir dan kesesakan lalu lintas di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) dan Klinik Kesihatan Luyang.
Dalam satu kenyataan, Tham mengalu-alukan maklum balas Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat terhadap soalan yang dikemukakannya di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah.
“Kementerian mengakui isu ini memberi kesan kepada pesakit, pelawat dan petugas kesihatan serta memerlukan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata antara langkah yang diumumkan kementerian ialah pembinaan bangunan parkir bertingkat di HQE di bawah projek naik taraf Hospital Queen Elizabeth dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Inisiatif lain termasuk pengasingan laluan khas untuk ambulans dan kenderaan kecemasan bagi mengurangkan kesesakan dalam kawasan hospital, perbincangan dengan Khazanah Sabah Berhad mengenai penyediaan kawasan parkir sementara berhampiran HQE2 serta penambahan 419 petak parkir di bawah projek Pusat Jantung Sabah.
Kementerian juga sedang menilai cadangan pembinaan sebuah lagi kemudahan penjagaan kesihatan di sepanjang sempadan Kota Kinabalu-Penampang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kesihatan.
Tham berkata beliau berharap langkah-langkah yang dirancang itu dapat diterjemahkan kepada tindakan nyata dalam tempoh yang munasabah.
“Penduduk Likas, Luyang dan kawasan sekitarnya sekian lama berdepan kesesakan lalu lintas yang bukan sahaja menjejaskan keselesaan malah boleh menghalang akses kepada perkhidmatan kesihatan khususnya ketika kecemasan,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan supaya mempercepatkan pelaksanaan langkah jangka pendek termasuk menyediakan kawasan parkir sementara, menambah baik aliran trafik dan mempertingkatkan perkhidmatan pengangkutan awam ke kemudahan kesihatan sementara projek-projek berskala besar sedang dilaksanakan.
Tham berkata beliau akan terus memantau pelaksanaan langkah-langkah yang diumumkan bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.



