GFM Services cadang pindah penyenaraian dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

Business & Finance
14 Aug 2023 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GFM Services cadang pindah penyenaraian dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

diyana

14/08/2023 - 18:15

KUALA LUMPUR 14 Ogos - GFM Services Berhad, penyedia perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu, bercadang memindahkan penyenaraian serta sebut harga bagi keseluruhan modal saham terbitan daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Pengarah Urusan Kumpulan GFM, Ruslan Nordin berkata cadangan pemindahan tersebut membuka jalan baharu untuk meningkatkan keterlihatan dan kredibiliti kumpulan, memperoleh pengiktirafan daripada bakal pelabur, khususnya pemegang saham institusi.

Pada masa yang sama, katanya, cadangan pemindahan membolehkan kumpulan itu mengakses pasaran modal yang lebih luas untuk menyokong rancangan pengembangan dan memperlihatkan lagi skala operasi semasa GFM.

"Kelayakan GFM untuk berpindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia adalah bukti kekuatan kewangan kumpulan dan kami berharap untuk terus mengukuhkan kemajuan ketika kami bergerak ke hadapan,” ujar beliau.

image is not available
Ruslan Nordin

Menurut GFM, keuntungan agregat selepas cukai kumpulan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat (PATMI) bagi tempoh tiga tahun kewangan yang lalu berakhir 31 Disember berjumlah RM36.9 juta, dengan PATMI kumpulan bagi tahun kewangan terkini berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berjumlah RM18.3 juta.

Sehubungan itu, GFM berkata ia telah melebihi keperluan keuntungan bagi cadangan pemindahan, yang memerlukan kumpulan mempunyai agregat keuntungan selepas cukai sekurang-kurangnya RM20 juta untuk tiga tahun kewangan penuh yang lalu dan keuntungan selepas cukai sekurang-kurangnya RM6 juta untuk tahun kewangan terkini.

“Kedudukan kewangan GFM kekal teguh dengan deposit, tunai dan baki bank berjumlah RM101.2 juta dan aset bersih RM162.9 juta, seperti yang ditunjukkan dalam kunci kira-kira pada 31 Disember 2022.

“Kumpulan juga menjana aliran tunai bersih yang positif daripada aktiviti operasi RM25.8 juta pada akhir 2022,” tambahnya,

Dari segi sebaran pegangan saham awam, GFM berkata mempunyai sebaran pegangan saham awam, kira-kira 51.9%, termasuk 9,818 pemegang saham awam, masing-masing memegang tidak kurang daripada 100 saham biasa.

Jelasnya, ini melebihi keperluan minimum 25% pegangan saham awam di kalangan 1,000 pemegang saham awam.

Menurut kumpulan itu, cadangan pemindahan adalah tertakluk kepada kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bursa Securities dan mana-mana pihak berkuasa lain yang berkaitan.

Tanpa keadaan luar jangkaan, cadangan pemindahan dijangka selesai pada penghujung tahun 2023. - DagangNews.com