GFM Services, Universiti Teknologi Malaysia teroka kerjasama tingkat kepakaran pengurusan aset dan fasiliti
diyana
25/07/2023 - 17:43
KUALA LUMPUR 25 Julai - Penyedia perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu, GFM Services Berhad dan Pusat Pengajian Hartanah Universiti Teknologi Malaysia (UTM CRES) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) hari ini.
“MoU tersebut berhasrat untuk menjalin kerjasama berkaitan pembangunan kepakaran dalam bidang pengurusan aset dan fasiliti melalui program latihan, penyelidikan bersama, serta inisiatif membina kesedaran,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut kumpulan itu, kedua-dua pihak akan meneroka pelbagai bidang kerjasama seperti membangunkan bidang kepakaran dalam pengurusan aset dan kemudahan untuk penyelidik dan UTM CRES.
Selain itu, GFM akan menyediakan penempatan latihan industri untuk penyelidik UTM CRES.
Mereka juga akan bersama-sama menganjurkan aktiviti seperti seminar, persidangan dan program profesional, di samping membangunkan kursus atau latihan berkaitan yang diiktiraf.
Di samping itu, MoU tersebut membolehkan mereka bertukar maklumat yang saling menguntungkan, serta bahan lain untuk tujuan penyelidikan dan penerbitan.
Ini juga akan meluaskan rangkaian kerjasama dan menggalakkan pengkomersilan hasil penyelidikan UTM CRES.
“Melalui kerjasama ini, GFM komited untuk memupuk sinergi dengan UTM dengan memudahkan perkongsian ilmu, bermatlamatkan mencipta kemajuan bermakna dalam industri pengurusan aset dan kemudahan,” katanya.
Saham GFM hari ini ditutup pada 18.5 sen, menokok 0.5 sen atau 2.8% dengan modal pasarannya bernilai RM127.7 juta. - DagangNews.com


