MPC, UiTM jalin kerjasama perkenal modul baharu produktiviti bagi perkukuh pengetahuan pelajar tahun akhir

12 Jul 2023 • 10:16 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MPC, UiTM jalin kerjasama perkenal modul baharu produktiviti bagi perkukuh pengetahuan pelajar tahun akhir

zulfadli

12/07/2023 - 10:16

KUALA LUMPUR 12 Julai - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi MARA (UiTM) bekerjasama memperkenalkan modul baharu berkaitan produktiviti bagi mengukuhkan pengetahuan pelajar dalam mencapai agenda kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara.

Pengarah MPC, Saliza Saari berkata, bab berkaitan produktiviti itu dimuatkan sebagai salah satu modul pembelajaran untuk pelajar semester akhir di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.

Katanya, dalam konteks Malaysia, isu-isu yang dihadapi industri seperti bakat yang dihasilkan institusi tinggi tidak bersedia untuk memenuhi keperluan industri, kekurangan tenaga kerja pelbagai kemahiran, dan pasaran global yang kompetitif.

"Ia hanya boleh membawa maksud satu perkara, yang mana industri dan institusi akademik perlu bekerjasama dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan produktif," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Minda Produktif: Ekspo Produktiviti dan Inovasi untuk Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar Kolej Kejuruteraan UiTM di Shah Alam, Selangor, semalam.

Menurut Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof Dr Hamidah Mohd Saman, kerjasama itu membuka jalan kepada UiTM, khususnya 'Lean Smart Manufacturing' dalam menyokong negara mewujudkan 4.0 graduan dengan kerjasama holistik antara Kolej Kejuruteraan, Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar dan MPC.

Ekspo produktiviti dan inovasi itu dianjurkan oleh MPC bersama Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Kolej Kejuruteraan UiTM.

Ia menampilkan pembentangan seramai 65 pelajar dari kursus tahun akhir elektif: Pembuatan Bertaraf Dunia dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam di bawah seliaan MPC, Noor Azlina Mohd Salleh (Ketua Kursus), dan Norliana Mohd Abbas.

Ekspo itu turut mengiktiraf Noor Azlina sebagai Juara Produktiviti (Pemimpin) kerana menyumbang kepada inisiatif peningkatan produktiviti dengan industri tempatan dan global.

Pada masa sama, Norliana diiktiraf sebagai Juara Produktiviti (Pengamal) manakala 65 pelajar kursus tahun akhir elektif pembuatan bertaraf dunia menerima pengiktirafan Juara Produktiviti di bawah kategori bakat. - DagangNews.com