
WASHINGTON: Sebatang gigi besar daripada megalodon prasejarah dan merupakan ikan jerung terbesar yang pernah hidup dan sering menjadi bahan dalam filem seram ditemukan di pesisir Jersey Shore oleh seorang bapa serta anaknya dari Pennsylvania.
Michael Bowers, 42, berkata, beliau menemui fosil daripada haiwan yang hidup kira-kira 3.6 juta tahun lalu itu ketika bercuti di Sea Isle City bersama anaknya, Bo, 11, pada Selasa lalu.
“Saya memang selalu rasa seperti saya menemui benda-benda pelik di dalam air,” kata Bowers kepada NJ.com.
“Saya langsung tidak pernah terfikir bahawa kami akan menemui sesuatu seperti ini. Anak saya kelu tidak dapat berkata apa-apa,” tambahnya.
Pasangan bapa dan anak dari Monongahela itu sedang berjalan di sepanjang jeti apabila mereka terlihat gigi tersebut di celah yang sempit.
Bowers tidak dapat memasukkan tangannya melalui celah itu untuk mengeluarkan gigi yang telah lama terhakis tersebut.
Namun, Bo berjaya mencapainya dan menariknya keluar dengan mudah.
“Ia memang antara benda yang saya impikan untuk ditemukan dalam hidup ini. Lutut saya sampai menggigil,” kata Bowers kepada media berkenaan.
Kedua-duanya kemudian membawa penemuan itu ke Pusat Pemerhatian Paus dan Penyelidikan Cape May yang mengesahkan bahawa gigi tersebut sememangnya fosil tulen.
Gigi itu adalah milik megalodon yang boleh membesar sehingga 18 meter panjang dan telah pupus lebih daripada 3.6 juta tahun, kata pengarah penyelidikan pusat itu, Melissa Laurino. – AGENSI
The post Gigi jerung mati lebih tiga juta tahun ditemukan appeared first on Utusan Malaysia.




