
KUANTAN: Kira-kira 1.3 juta bekas penagih dadah berdepan laluan sukar mendapatkan pekerjaan dan membina kehidupan baharu akibat stigma dan undang-undang yang menghukum mereka.
Rekod di bawah Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang-orang yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7) menyebabkan sebahagian besar daripada mereka hilang kelayakan menyertai bekerja, sekali gus menyukarkan proses integrasi semula ke dalam komuniti.
Presiden dan Pengasas Pertubuhan Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited Malaysia), Khalid Hashim berkata, sebanyak 2.6 juta individu direkodkan di bawah Akta 7 sejak 1969 dengan hampir separuh daripadanya melibatkan sabitan kesalahan dadah, termasuk di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, isu stigma dan kekangan perundangan itu perlu ditangani secara holistik supaya mereka tidak terus dipinggirkan daripada ekosistem ekonomi demi mengurangkan penagihan semula atau relaps selepas keluar dari institusi pemulihan.
“Isu pekerjaaan sangat membimbangkan apabila hampir 1.3 juta individu dilabelkan sebagai penjenayah dan orang-orang yang tidak diingini akibat rekod Akta 7, secara tidak langsung merobohkan peluang mereka untuk pulih sepenuhnya dan kembali berbakti kepada masyarakat,” katanya.
Memecah tembok diskriminasi itu, Khalid menyarankan inisiatif berteraskan matlamat pembangunan mampan (SDG) dengan membangunkan pelbagai aktiviti ekonomi seperti Medan Selera The Kacik 1998 yang dilaksanakan oleh Komited Malaysia dapat dijadikan contoh sebagai platform sokongan sosial dan peluang kedua buat golongan berkenaan.
Konsep ditampilkan bukan sekadar imbauan nostalgia sebaliknya wahana inklusif yang berupaya menyatukan semula bekas penagih dengan komuniti menerusi keusahawanan mikro.
Pensyarah Kulliyyah Syariah dan Undang-Undang Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS), Dr. Mohammad Ramzi Zakaria berkata, isu kelayakan pekerjaan melibatkan bekas penagih dadah yang berdaftar di bawah Akta 7 memerlukan perhatian segera pihak berwajib supaya golongan tersebut tidak terus tersisih daripada arus perdana masyarakat.
Katanya, ketidakupayaan mendapatkan pekerjaan yang stabil akibat rekod lampau dikesan menjadi faktor utama yang menggagalkan proses integrasi semula bekas penagih ke dalam komuniti.
“Jika kerisauan dan nasib mereka terus diabaikan, golongan itu berdepan risiko untuk kembali terjebak dengan dadah akibat desakan hidup dan tekanan emosi.
“Model perniagaan sosial seperti Medan Selera The Kacik 1998 wajar diperluas ke seluruh negara sebagai langkah konkrit membela nasib dan memberi peluang kedua kepada golongan berkenaan,” katanya.
Katanya, pendekatan holistik diguna pakai di medan selera itu terbukti berkesan bukan sahaja dalam mengurangkan kadar kembali menagih, malah memanusiakan semula golongan tersebut menerusi peluang pekerjaan.
“Kejayaan itu wajar dijadikan penanda aras oleh kerajaan, agensi berkaitan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri-negeri lain kerana berupaya menyediakan jambatan pemulihan yang memanusiakan semula golongan bekas penagih, memberi mereka ruang membina maruah diri melalui rezeki yang halal tanpa dibayangi stigma.
“Ia membuktikan apabila kita memberi latihan keusahawanan, pengendalian makanan dan persekitaran kerja kondusif, mereka mampu berdikari dan menyumbang kembali kepada ekonomi setempat,” katanya.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, 14 bekas penagih dadah tidak mensia-siakan peluang kedua dengan bekerja di Medan Selera The Kacik 1998 terletak di belakang Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. – UTUSAN
The post Padam rekod kesalahan penagih bantu mereka cari kerja appeared first on Utusan Malaysia.






