
Dalam paddock MotoGP, cerita paling panas yang berlegar ketika ini bukan sekadar soal jentera, tetapi siapa sebenarnya yang memegang “remote control” di Borgo Panigale. Menurut sembang-sembang media luar, Gigi Dall’Igna kini dilihat mengawal sepenuhnya arah pembangunan Ducati Corse. Segala keputusan teknikal, strategi jangka panjang, malah hala tuju pasukan seolah-olah berlegar di sekeliling satu nama iaitu Gigi.
Dalam konteks itu, pemergian Paolo Ciabatti daripada projek MotoGP ke projek off-road sebelum ini bukan lagi dilihat sebagai rombakan biasa. Ia lebih kepada isyarat jelas perubahan kuasa dalaman. Ciabatti, figura yang lama sinonim dengan operasi perlumbaan Ducati, kini berada di luar bulatan utama keputusan MotoGP, satu perkembangan yang sukar diabaikan.
Lebih menarik, Gigi juga dikatakan antara individu utama yang menyokong pengambilan Pedro Acosta. Alasannya cukup berani: Ducati sudah terlalu matang. Dengan pakej Desmosedici yang hampir “plug and play”, sesiapa sahaja pelumba berbakat boleh muncul juara. Bagi Gigi, keutamaan jelas terarah kepada kejuaraan, bukan soal kewarganegaraan pelumba. Fokusnya ialah hasil di litar, bukan pasport di dalam poket.
Jika benar dakwaan ini, Ducati kini berada di fasa baharu, era di mana kejuruteraan mendahului ego, dan pelumba perlu menyesuaikan diri, bukan sebaliknya. MotoGP mungkin belum bermula, tetapi permainan kuasa di belakang tabir sudah pun memecut laju.
The post Gigi tunjang utama Ducati Corse appeared first on TW Media.
