
PETALING JAYA – Giliran menunaikan ibadah haji akan disusun semula secara sistematik dan automatik bermula 1 Januari 2029 berdasarkan tarikh pendaftaran serta pencapaian baki simpanan minimum RM15,000.
Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah yang diperkenalkan hari ini bagi mewujudkan sistem kelayakan haji lebih sistematik dan dinamik.
Menurutnya, sistem baharu itu akan menggantikan proses pendaftaran serta pengurusan giliran sedia ada, namun tidak menjejaskan prinsip siapa dahulu, didahulukan (First-Come, First-Served).
“Di bawah pendekatan baharu ini, pendeposit akan layak secara automatik untuk berada dalam giliran haji sebaik sahaja simpanan mereka mencapai RM15,000 iaitu jumlah minimum bayaran haji semasa bagi kumpulan B40.
“Bagi pendeposit yang telah berdaftar, mereka diberi tempoh lebih dua tahun sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai sasaran simpanan minimum RM15,000,” menurut kenyataan itu hari ini.
TH berkata, bermula 1 Januari 2029, giliran haji akan disusun semula berdasarkan tarikh pendaftaran dan pencapaian baki simpanan minimum berkenaan.
Pendekatan itu dijangka mewujudkan proses lebih mudah, adil dan lancar selain mengiktiraf usaha pendeposit yang membuat persediaan secara konsisten.
Ia juga selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memperkukuh tadbir urus dan memastikan pengurusan giliran haji lebih telus, adil serta mampan.
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, pihaknya mengambil kira maklum balas pendeposit yang mahukan garis panduan lebih jelas dalam membuat persediaan menunaikan haji.
“Ramai yang mahukan garis panduan yang lebih jelas dan laluan persediaan yang lebih tersusun. Inisiatif ini adalah untuk membantu umat Islam di Malaysia menterjemahkan niat kepada tindakan.
“Mereka yang menyimpan secara konsisten dan membuat perancangan awal bersama kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk merealisasikan impian menunaikan Haji,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Giliran haji disusun semula 2029, perlu baki minimum RM15,000 appeared first on Kosmo Online.




