Giliran Tok Mat beri sindiran, tunggu rai keputusan mahkamah ‘rasmi’ terowong P. Pinang

LocalPolitics
23 Dec 2025 • 3:05 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat dilihat seakan menyindir beberapa pemimpin DAP yang menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk dikenakan tahanan rumah.

Tok Mat tunggu masa rai keputusan mahkamah tahun depan

Menerusi satu hantaran di media sosial, Menteri Luar Negeri itu menyatakan beliau juga sedang menunggu masa untuk meraikan keputusan mahkamah membabitkan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang melibatkan penasihat DAP, Lim Guan Eng.

“Saya pun tunggu nak celebrate apabila Mahkamah Tinggi merasmikan Terowong Pulau Pinang, mungkin pertengahan tahun 2026,” katanya.

image is not available

Tok Mat beri reaksi diatas kenyataan pemimpin DAP

Kenyataan Tok Mat itu hadir ketika hubungan UMNO dan DAP semakin tegang, susulan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua yang melabelkan penyokong UMNO sebagai “pencinta seorang penyangak” serta menegaskan beliau dan partinya berbangga memainkan peranan penting dalam pemenjaraan Najib.

Dalam pada itu, Pua turut mendakwa bekas perdana menteri itu sepatutnya berterima kasih atas “diskaun besar” selepas Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara dan denda.

image is not available

Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO mengecam kenyataan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin, yang menyifatkan kegagalan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah sebagai satu lagi sebab untuk diraikan hujung tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh menyifatkan kenyataan itu sebagai “amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusiaan”, selain mencadangkan agar UMNO memperhalusi semula kedudukan dalam kerajaan perpaduan kerana kerjasama dengan DAP didakwa gagal mewujudkan suasana harmoni.

Untuk rekod, Lim Guan Eng ketika ini sedang dibicarakan atas dakwaan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bagi menerima RM3.3 juta berkaitan projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut bernilai lebih RM6.3 bilion, selain berdepan pertuduhan meminta suapan serta pelupusan tanah kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta.

Sumber: Facebook Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hassan